My Add

Tuesday 12 March 2013

93 peratus cap jari milik penjenayah tegar - Tun Hisan

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
SHAH ALAM, ISNIN, 11 Mac, 2013: Kira-kira 93 peratus daripada 938 cap jari yang berjaya dikesan oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sepanjang tahun lalu dikenal pasti milik penjenayah tegar.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, berdasarkan penemuan cap jari itu, pihaknya percaya kumpulan yang melakukan jenayah di negeri ini tidak ramai kerana kebanyakannya melibatkan individu yang sama.

"Perkara ini menunjukkan penjenayah tegar tersebut tidak mempunyai kesedaran untuk berubah dan mereka menimbulkan pelbagai alasan bagi melakukan aktiviti jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan replika kunci trak pikap kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah di IPK Selangor di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Unit Forensik menerima dua trak pikap jenis Toyota Hilux manakala Unit Anjing Pengesan (K9) pula turut menerima sebuah kenderaan sama dengan keseluruhannya bernilai RM441,000.

Tun Hisan seterusnya yakin penambahan kenderaan tersebut dapat meningkatkan lagi mutu siasatan pasukannya dalam menyelesaikan sesuatu kes.

"Pada 2001, Unit Forensik menyelesaikan 181 kes dengan hanya mempunyai seorang pegawai dan empat anggota tetapi kini saya berbangga pakar forensik memiliki tiga kumpulan yang diketuai dua pegawai dan 24 anggota serta berjaya menyelesaikan sebanyak 857 kes," katanya.

Tambah Tun Hisan, pada tahun ini, pihaknya bercadang meningkatkan bilangan anggota forensik dengan menambah dua kumpulan lagi agar dapat memberi khidmat untuk menangkap penjenayah.

"Kenderaan baharu untuk Unit K9 juga telah diubah suai kepada ruang yang lebih besar bagi memuatkan dua ekor anjing. Kita juga bercadang menambah bilangan anjing supaya dapat membantu penyiasatan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment