My Add

Saturday 23 March 2013

Air dari Seremban sebagai langkah sementara

HULU LANGAT, JUMAAT, 22 Mac, 2013: Kerajaan terpaksa mengambil langkah penyelesaian jangka pendek dengan mendapatkan bekalan air dari Loji Rawatan Air Labu di Seremban sementara menunggu kelulusan arahan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, bekalan sementara dari Labu itu akan membolehkan penduduk Selangor dan Kuala Lumpur mendapat bekalan air sebanyak 105 juta liter sehari.

"Jalan penyelesaian itu sedang dalam perbincangan, selain memberi peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta bagi membaik pulih rumah pam untuk meningkatkan kapasiti air terawat,'' tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan kerja-kerja pengorekan peringkat ketiga projek pembinaan terowong saluran air dari Pahang ke Selangor di Hulu Langat di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan masih dalam proses menyelesaikan kemelut Langat 2 ekoran keengganan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor melaksanakan projek berkenaan.

"Kita sedang menyelesaikannya dengan pendekatan yang sesuai dan yakin masalah ini akan ditangani," katanya yang enggan mengulas panjang mengenai kemelut pembinaan Langat 2.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd. Khusrin Munawi.

Isu Langat 2 menarik perhatian semula berikutan kerja-kerja pembinaan terowong saluran air yang menghubungkan Pahang dan Selangor dijangka siap pada Mei 2014 kira-kira setahun dari sekarang.

Projek berimpak tinggi yang menelan kos hampir RM4 bilion itu bakal menyalurkan bekalan air mentah dengan kapasiti 1,890 juta liter sehari dari Karak, Pahang ke Hulu Langat, Selangor.

Air yang diperoleh dari Pahang itu sepatutnya dirawat di Langat 2 bagi memenuhi permintaan bekalan air terawat yang semakin mendesak di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sementara itu, Mohd. Khusrin ketika diminta mengulas isu tersebut berkata, "Tanyalah kepada Menteri Besar."

Bagaimanapun, selepas diasak soalan yang sama, akhirnya beliau berkata, Kerajaan Selangor tidak ada halangan dalam pelaksanaan Langat 2 sekiranya penstrukturan dilakukan secara holistik.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan projek Langat 2 akan tetap diteruskan meskipun tanpa persetujuan Kerajaan Selangor.

Peguam Negara telah diminta melihat sekiranya terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan Kerajaan Persekutuan membina Langat 2 walaupun Kerajaan Selangor tidak bersetuju. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment