My Add

Monday 11 March 2013

Aktiviti di Felda Sahabat berjalan lancar - Isa Samad

MELAKA, ISNIN, 11 Mac, 2013: Aktiviti peneroka di Felda Sahabat di Sabah pada masa ini berjalan lancar dan beroperasi seperti biasa, kata Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mematuhi nasihat anggota keselamatan yang bertugas dalam Ops Daulat demi keselamatan peneroka di Felda tersebut di samping mengelak sebarang kemungkinan yang menggugat operasi pihak keselamatan.

"Tengok tempat dan keadaan, kalau tempat itu pihak polis dan tentera kata boleh beroperasi kita akan jalankan tapi kalau kata tidak boleh, kita tak jalan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Kami Prihatin Yayasan Felda bersama Parlimen Bukit Katil di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Bukit Katil, Datuk Md. Sirat Abu dan Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Yayasan Felda, Datuk Dr. Emel Faizal Mohd. Mokhtar.

Katanya, Felda turut menyalurkan pelbagai bantuan termasuk makanan dan minuman kepada peneroka serta penduduk kampung berhampiran bagi meringankan beban mereka.

Sehubungan itu, katanya, Felda berterima kasih kepada anggota keselamatan kerana berjaya menjalankan Ops Daulat dengan selamat dan lancar demi keselesaan penduduk di Sabah.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Isa berkata, Felda telah berjaya membaik pulih sebanyak 4,500 rumah penduduk kurang berkemampuan di seluruh Semenanjung Malaysia bernilai RM22.5 juta sejak program 'Kasih Felda' diperkenalkan pada tahun lepas.

Katanya, jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 5,000 unit rumah menjelang akhir tahun ini disebabkan terdapat permintaan daripada rakyat.

"Program ini bertujuan untuk memenuhi hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Felda membantu dan menyumbang khidmat kepada masyarakat di luar Felda agar nikmat tersebut dapat dikongsi bersama," katanya.

Mengulas lanjut tentang program yang kini telah menjelajah ke negeri keempat iaitu Melaka, beliau berkata, Felda turut menyediakan khidmat pemeriksaan kanser payudara secara percuma dengan kerjasama Majlis Kanser Nasional (Makna) dan pemberian cermin mata percuma kepada kira-kira 1,000 penduduk Parlimen Bukit Katil.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan seramai 40 penduduk di parlimen itu menerima bantuan pembaikan rumah bernilai RM5,000 bagi setiap unit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment