My Add

Friday 8 March 2013

Al-Ikhsan Sungai Buloh dirompak kali ketiga

Oleh AZRAI MOHAMMAD
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Mac, 2013: Pihak pengurusan syarikat pengedar barangan dan pakaian sukan milik bumiputera, Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. (Al-Ikhsan) semakin bimbang dan buntu apabila premis mereka terus menjadi sasaran perompak.

Dalam kejadian terbaharu Isnin lalu, premis Al-Ikhsan cawangan Sungai Buloh, yang pernah dua kali dirompak, kerugian kira-kira RM1,000 apabila sekali lagi dirompak oleh tiga lelaki bersenjatakan pisau.

Ketua Penyelia Al-Ikhsan Kawasan Tengah, Shahril Affendi Mohd. Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, tiga penjenayah memakai topi keledar dan bersenjatakan pisau melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM600, dua telefon bimbit milik pekerja premis tersebut dan enam helai jersi.

"Suspek datang ke depan kedai ketika dua pekerja kami sedang bertugas. Salah seorang mereka mengacu pisau sebelum memaksa pekerja itu menyerahkan wang dan barang berharga.

"Setelah merampas barangan tersebut, mereka melarikan diri melalui pintu depan kedai menggunakan kenderaan yang tidak dikenal pasti," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Pada tahun lalu, sebanyak tujuh kes rompakan berlaku di premis Al-Ikhsan di sekitar Lembah Klang iaitu di Gombak, Ampang dan Wangsa Maju termasuk dua kes di cawangan Sungai Buloh.

Menurut Shahril Affendi, ekoran kejadian itu, pihaknya telah membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara, Petaling Jaya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment