My Add

Tuesday 26 March 2013

Anwar jumpa Nur Misuari dua kali

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Mac, 2013: Pengendali portal propembangkang, Raja Petra Kamaruddin mendakwa memang berlaku pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nur Misuari bagi membincangkan isu politik di Sabah.

Dakwanya, pertemuan pertama Ketua Pembangkang dengan bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) itu berlangsung pada 16 Julai 2012 di Hotel Crowne Plaza, Jakarta dan diatur oleh sahabat baik Anwar sendiri.

Pertemuan seterusnya pula dakwa Raja Petra, berlaku pada 4 Ogos 2012 di Manila bertujuan memuktamadkan segala perbincangan yang dibuat di Jakarta dan penerbangan ke sana menggunakan pesawat Malaysia Airlines.

"Dalam pertemuan itu, Anwar dikatakan meminta pertolongan Nur Misuari bagi memastikan kemenangan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang dengan tumpuan khusus perbincangan adalah berkait isu Sabah.

"Pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen di Malaysia Timur untuk membentuk Kerajaan Pusat dan bagi memastikan perkara itu berlaku, Anwar memerlukan pertolongan pengundi Muslim di Sabah,'' katanya seperti dipetik daripada portal malaysia- today.net, hari ini.

Menurutnya, Anwar berjanji kepada Nur Misuari apabila pakatan pembangkang memerintah, Kerajaan Pusat akan memberi autonomi kepada Sabah dan Sarawak.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan Anwar telah beberapa kali bertemu Nur Misuari sebelum berlakunya insiden pencerobohan berdarah oleh pengganas Kiram di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Bagaimanapun beliau enggan memberitahu jumlah sebenar pertemuan tersebut kerana pihak berkuasa masih meneliti dengan terperinci setiap maklumat yang diperoleh sebelum mendedahkannya kepada rakyat.

Pengesahan Hishammuddin itu ekoran pendedahan sebuah blog mymassa.blogspot.com yang mendakwa Anwar bertemu Nur Misuari lima kali dengan pertemuan kali terakhir dikatakan berlangsung pada 7 Februari lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment