My Add

Tuesday 26 March 2013

Anwar kata tidak pernah jumpa Kiram, Tian Chua pula nafi hina polis

JOHOR BAHRU, AHAD, 24 Mac, 2013: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dia tidak pernah bertemu dengan ketua pengganas, Jamalul Kiram III.

Beliau juga terus bersandiwara apabila menyatakan tidak pernah menyalahkan UMNO dalam insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.

Menurut Anwar, beliau hanya mahu memaklumkan bahawa Jamalul dan keluarganya adalah ahli UMNO dan banyak kali datang ke mesyuarat perwakilan parti itu serta hairan tentang dakwaan pertemuannya dengan ketua pengganas itu.

“Nama saya Anwar Ibrahim Sultan Kiram Sulu, sebab diorang permainkan, kata saya pulaklah buat kes Sulu. Saya tak pernah jumpa pun Sultan Kiram itu. Sultan Kiram itu banyak pergi (mesyuarat) perwakilan UMNO, tetapi saya tak tuduh UMNO terlibat.

“Tetapi saya cuma nak beritahu Sultan Kiram dan keluarganya adalah ahli UMNO, mesyuarat perwakilan UMNO. Tidak bermakna UMNO terlibat dalam serangan," katanya dalam ceramah Parti Keadilan Rakyat (PKR) di padang awam Kampung Melayu Majidee di sini semalam.

Ketua Umum PKR itu berkata, beliau hanya bertemu dengan Nur Misuari atas kapasiti sebagai rakan.

Hal ini katanya adalah rentetan daripada usaha damai selatan Filipina pada 1991-1992 dengan Presiden Filipina ketika itu, Fidel Ramos sehinggalah Ketua Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) itu menjadi Gabenor Mindanao dan melawat Malaysia atas jemputan Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sejak itu saya jadi kawanlah, bukan jadi pengganas. (Kemudian mereka tuduh) sebabnya kata saya nyanyi lagu Tanya Sama Najib, selain saya jadi ejen Sultan Sulu, saya juga dianggap penyanyi berbakat baharu oleh TV3," katanya sebelum mengulangi nyanyian tersebut di hadapan kira-kira 2,000 hadirin.

Anwar berkata, apa yang berlaku sekarang adalah usaha mengaibkan dan memfitnah beliau menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, selain menyatakan rangkap yang dinyanyikan hanyalah ‘lagu rentak’ yang tidak boleh menjadi bukti dia menyokong Sabah hilang daripada Malaysia.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Tian Chua dalam ucapannya sekali lagi menafikan perbuatan menghina atau memperlekeh pasukan keselamatan kerana konspirasi UMNO yang dimaksudkan adalah merujuk kepada cubaan memburukkan pembangkang setiap kali berlaku sebarang insiden.

“Saya juga difitnah, saya tidak pernah sama sekali kata komando mati katak, saya bersama Anwar akan saman Papa Gomo ini. Dalam isu Lahad Datu, kita menyanjung dan menyokong peranan pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara dalam situasi yang sangat mencabar.

“Kalau lihat dalam gambar saya pernah ditendang, dibelasah dipukul oleh anggota keselamatan. Pernahkah saya dalam perhimpunan reformasi angkat tangan balas dengan kekerasan, lempar batu?," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment