My Add

Tuesday 12 March 2013

ATM dapat pengiktirafan dalam misi pengaman PBB

KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Mac, 2013: Bertugas menangangani konflik di negara menghadapi peperangan merupakan tanggungjawab yang amat mencabar bagi anggota pasukan pengaman, kata Komandan Pusat Latihan Pengaman Malaysia, Kolonel Badrul Hisham Mohammad.

Berucap pada forum bertajuk 'Mengekalkan Keamanan dan Kestabilan: Melindungi Orang Awam' baru-baru ini, beliau menjelaskan pelbagai cabaran yang terpaksa diharungi anggota pasukan yang menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), termasuk dari segi bahasa, cara bekerja dan kekurangan infrastruktur serta kemudahan.

Bagaimanapun beliau berkata, semua cabaran itu membantu meningkatkan azam dan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus menabur bakti dan bergerak maju.

Katanya, walaupun menghadapi masalah daripada segi perbezaan bahasa di kawasan bertugas, anggota ATM tidak menjadikannya sebagai halangan atau penghalang bagi mereka untuk melaksanakan tugas dengan berkesan.

Beliau berkata, bertugas dengan kontinjen dari pelbagai negara yang mempunyai doktrin dan prosedur ketenteraan berbeza juga merupakan satu lagi cabaran yang perlu dihadapi pasukan itu.

Katanya, kekurangan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan operasi memerlukan anggota pasukan itu bertindak dengan bijak untuk mengatasi masalah dan menyesuaikan diri dengan keadaan.

"Bagaimanapun, di sebalik semua faktor itu, kami mampu melaksanakan tugas tanpa terlalu banyak masalah. Kami bukan sahaja mendapat penghormatan dan penghargaan daripada negara sendiri, tetapi juga berjaya mengukuhkan dan meningkatkan kerjasama dengan pemegang kepentingan lain," katanya.

Malaysia diterima sebagai anggota PBB pada 1957 dan pertama kali menyertai misi pengaman PBB pada 1960 iaitu di Congo.

Badrul Hisham berkata, dari Julai 1960 hingga Jun 1964, lebih 3,000 anggota pasukan keselamatan Malaysia berkhidmat dalam misi PBB. Pada 1988, ATM menganggotai Kumpulan Pemerhati Tentera PBB Iran-Iraq.

Katanya, ATM juga pernah dikerahkan ke Sudan, Lubnan, Filipina dan Liberia.

Antara penceramah pada forum itu ialah Pegawai Undang-undang Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Fiona Barnaby dan wakil Kelab Kebangsaan Akhbar Malaysia, Tony Emmanuel, yang juga wartawan kanan akhbar New Straits Times.

Forum sehari itu dianjurkan oleh Gerbang Maklumat Selatan-Selatan (SSIG), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dengan kerjasama ICRC. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment