My Add

Tuesday 12 March 2013

Azlan: Saya tiada niat khianati Saiful

*BAPA kepada Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim ketika sesi soal jawab bersama media di Ibu Pejabat PKR pagi tadi.

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSINPETALING JAYA, ISNIN, 11 Mac, 2013: Di sebalik dakwaan banyak pihak bahawa beliau membuat pusingan 'U' dalam isu berkaitan kes liwat Saiful-Anwar, Azlan Mohd Lazim hari ini memohon maaf kepada Saiful Bukhari sambil menegaskan, tindakan beliau membuat pendedahan mengejutkan Jumaat lalu bukan bertujuan mahu menganiaya dia.

Menyifatkan beliau tahu apa yang berlaku di belakang tabir, Azlan bagaimanapun berkata, kasih sayangnya kepada anak kandungnya itu tidak berbelah-bahagi.

"Saya menghargai kenyataan Saiful yang hormat dan sayang saya hingga ke akhir hayat. Bukan bermakna saya sertai PKR, saya akan sisih mereka," katanya pada sidang media selepas menyerahkan permohonan untuk menyertai PKR, di sini, hari ini.

Enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan kononnya beliau dibayar oleh pihak tertentu untuk berbuat demikian, Azlan berkata, terpulanglah kepada orang ramai untuk membuat penilaian.

"Saya tak berhak untuk tahan tohmahan," ujar beliau menjawab soalan bertubi-tubi daripada pihak media.

Terbaru, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah tidak menolak kemungkinan Azlan dibiayai pihak tertentu untuk menukar kenyataannya sebelum ini.

Menurutnya, beliau tidak terkejut sekiranya bapa Saiful itu akan menjadi jutawan baru dalam masa terdekat ini kerana dibiayai oleh pimpinan PKR.

Menurut Azlan, kenyataan yang dibuatnya itu juga bukan bertujuan untuk meraih sokongan rakyat.

"Terpulanglah kepada rakyat Malaysia," katanya.

Pada sidang media sama, Azlan menegaskan, beliau tidak akan menjejak langkah anaknya dengan melakukan sumpah laknat bagi membuktikan dakwaan beliau bahawa anaknya itu dipergunakan pihak tertentu untuk memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kali kedua.

"Soal sumpah, banyak orang bersumpah. Saya tak akan bersumpah," kata Azlan sambil menegaskan, "saya tak takut."

"Kalau saya takut, saya tak akan beri apa-apa kenyataan," katanya.

Kelmarin, Anwar mengucapkan jutaan terima kasih kepada Azlan di atas pendedahan yang dibuatnya.

Anwar berkata, ia membuktikan lagi bahawa adanya konspirasi jahat untuk menjatuhkan beliau. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment