My Add

Wednesday 6 March 2013

Bakti hulur sumbangan kepada keluarga mangsa korban pencerobohan

 *ROSMAH Mansor beramah mesra bersama tetamu kehormat, Duta Besar Austria, Andrea Wicke (kanan) sambil diperhatikan oleh Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali (dua, kanan) ketika menghadiri Mesyuarat Agung Bakti Ke-36 di Bangunan Bakti, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Noorainee Abdul Rahman (dua, kiri) dan Lyudmila G.Vorobyeva (kiri). - BERNAMA

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Mac, 2013: Badan Amal Kebajikan dan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) akan menghulurkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada ahli keluarga setiap anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah sebagai mengenang jasa pejuang-pejuang yang mempertahankan negara.

Yang Dipertuanya, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, Bakti turut menyumbangkan RM5,000 kepada anggota keselamatan cedera parah manakala RM2,500 bagi yang cedera ringan.

Menurutnya, sumbangan itu diberikan atas dasar simpati dan mengenang jasa pejuang-pejuang yang sanggup berkorban mempertahankan negara.

"Saya ucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa korban dan cedera dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna.

"Hati kami amat tersentuh dan pilu mengenangkan para balu yang kehilangan suami, anak-anak yang kehilangan bapa dan ibu bapa yang kehilangan anak," katanya ketika berucap dalam Majlis Mesyuarat Agung Bakti Ke-36 di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman dan Ahli Kehormat, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Mesyuarat agung tahunan itu dirasmikan Duta Besar Rusia ke Malaysia, Lyudmila G.Vorobyeva.

Jelasnya, ahli-ahli Bakti menentang sekeras-kerasnya tindakan kumpulan penceroboh yang telah meragut nyawa anggota keselamatan.

"Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan tidak mahukan kesejahteraan ini diganggu-gugat oleh sesiapa pun.

"Sesungguhnya kami amat menghargai jasa dan perjuangan perwira negara ini yang sanggup berjuang demi mempertahankan ibu pertiwi hingga ke titisan terakhir,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment