My Add

Tuesday 26 March 2013

Balu ASP Zulkifli: 'Sayu, kali pertama sambut Hari Polis tanpa suami'

 *AZIAH (dua kiri) cuba ditenteramkan oleh Jabah Mingku
 (kanan), Nurunnisa (dua kanan) dan Siti Banddorah Mahali
(kiri) pada Sambutan Hari Polis ke-206, hari ini. - Foto Bernama

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
KUALA LUMPUR, ISNIN,25 Mac 2013: Meskipun di wajahnya masih tergambar kesedihan tidak terperi akibat kehilangan suami yang gugur di medan juang, Aziah Noor mengharapkan pejuang-pejuang negara yang masih bertugas dalam Op Daulat, akan terus berbakti kepada bangsa dan pertiwi.

Hati mana tidak pilu, inilah kali pertama beliau hadir pada sambutan Hari Polis tanpa suami tercinta.

Namun balu kepada ASP Zulkifli Mamat ini berkata, si anaklah penguat semangatnya.

Tidak sesekali beliau putus harap dan semangat untuk meneruskan kehidupan.

"Saya redha atas kehilangan suami, kekuatan saya sekarang adalah anak-anak," katanya yang ditemui pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-206 di sini, hari ini.

Beliau yang berasal dari Besut, Terengganu mempunyai dua orang anak, hasil perkahwinan bersama Allahyarham ASP Zulkifli.

Allahyarham terkorban pada 1 Mac lalu akibat serangan mortar.

"Saya berharap para perwira dan kesatria negara di Lahad Datu dapat meneruskan perjuangan hingga ke titisan darah yang terakhir," ujar Aziah dengan nada penuh hiba namun tetap bersemangat.

Aziah adalah antara ahli keluarga anggota polis, yang terkorban semasa Op Daulat di Lahad Datu dan Semporna, Sabah, hadir pada sambutan penuh bermakna ini.

Pada sebelah pagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan penghormatan kepada pejuang-pejuang negara ini yang gugur di medan juang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar turut merakamkan ucapan takziah kepada perwira negara yang tidak mengenal erti gentar mempertahankan kedaulatan negara.

"Pada mereka yang telah meninggalkan kita marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan disi mereka yang beriman. seluruh PDRM mengucapkan salam takziah kepada yang terkorban," kata beliau.

Sambutan hari polis yang diadakan kali ini tampak berbeza apabila sajak dan lagu-lagu keperwiraan berkumandang di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), Jalan Semarak di sini.

Walaupun penuh sayu namun elemen patriotik tetap menusuk jiwa.

Suasana hening seketika apabila balu dan waris anggota yang terkorban dalam krisis pencerobohan di Sabah, mengambil kenaikan pangkat pegawai dan anggota berkenaan.

Lapan pegawai dan anggota yang gugur dikurniakan kenaikan pangkat secara Medan Posthumous.

Mereka yang terkorban dalam di Kampung Tanduo pada 1 Mac ialah ASP Zulkifli, 29, dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, manakala anggota yang gugur di Semporna pada 2 Mac ialah ACP Ibrahim Lebar, 52, Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, DSP Michael Padel, 36, Sarjan Mejar Baharin Hamid, 49, Sarjan Mejar Abdul Azis Sakirun, 48; dan Sarjan Salam Togiran, 42.

Turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan isteri, serta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Selain Aziah, antara turut hadir balu mendiang DSP Padel, Jabah Mingku, balu Allahyarham Sarjan Sabaruddin, Nurunnisa Abu Bakar dan balu Allahyarham Sarjan Mejar Abdul Azis, Siti Banddorah Mahali. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment