My Add

Monday 4 March 2013

Balu Ibrahim Lebar tidak sangka suami terlibat tragedi

 *SEBAHAGIAN saudara mara, rakan-rakan dan jiran Allahyarham Supritendan Ibrahim Lebar mengadakan kenduri tahlil arwah yang terbunuh dalam serangan penceroboh di Semporna, Sabah awal pagi ini, di kediamannya, di Subang Jaya hari ini - UTUSAN

KUALA LUMPUR, AHAD, 03 Mac, 2013: Balu salah seorang pegawai polis yang terbunuh dalam serangan hendap di sebuah balai polis di Semporna, Sabah, malam tadi, sama sekali tidak menyangka suaminya itu akan ditimpa malapetaka.

Ini kerana Supritendan Ibrahim Lebar, 45, yang bertugas di Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ke negeri itu hanya ditugaskan untuk membantu pasukan sedia ada khususnya dalam risikan dan pengumpulan maklumat.

Perkara itu dinyatakan isteri Allahyarham, Rosiah Dahlan, 40-an, kepada Timbalan Pengarah Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Md. Zin Mohd. yang melawat keluarga Allahyarham lewat petang ini.

“Pemergian beliau (Allahyarham) sangat mengejutkan isterinya kerana beliau ke sana hanya untuk membantu dengan kepakarannya (risikan). Keluarganya menyangka arwah akan kembali dengan selamat tetapi berlaku sebaliknya," katanya.

Yang turut hadir melawat ahli keluarga Allahyarham ialah Ketua Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Senior Asisten Komisioner Hasanuddin Hassan di rumah keluarga mangsa di USJ 9, Subang Jaya dekat sini.

Allahyarham meninggalkan Rosiah yang bekerja sebagai pegawai bank serta tiga anak iaitu Amirul Shafiq, 22, Amira Shahira, 20, dan Amira Shahida, 17.

Rosiah dikatakan mendapat berita kematian suaminya itu kira-kira pukul 4 pagi tetapi belum mendapat pengesahan sehinggalah lewat petang ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di rumah Allahyarham mendapati suasana pilu menyelubungi ahli keluarga yang mengadakan majlis tahlil manakala usaha untuk menemu bual Rosiah gagal kerana wanita itu enggan ditemui pemberita. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment