My Add

Thursday 14 March 2013

Balu Zulkifli masih kerap termenung

IPOH, RABU, 13 Mac, 2013: Balu Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, pegawai polis komando VAT 69 yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas di Lahad Datu, Sabah, masih belum dapat menerima hakikat kematiannya suaminya.

Ibu mertua Allahyarham Zulkifli, Khalifah Mohd. Isa, 54, memberitahu, anaknya, Noraziah Noor, 30, yang sedang mengandung sebulan sering termenung dan enggan menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan.

"Dia nampak masih belum dapat menerima hakikat kehilangan suaminya. Dengan keadaannya yang sedang mengandung sekarang ini, kesihatannya agak merosot kerana kerap termenung.

"Makcik harap semua pihak faham situasi yang perlu ditanggung Azie. Sebagai keluarga kami sekeluarga akan memberi dorongan semangat kepada Azie," katanya ketika ditemui dalam majlis Lawatan Kebajikan Perkep Malaysia dan FGV Holdings di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri isteri kepada Pengerusi Kumpulan Felda, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid yang turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Noraziah dan isteri kepada Sarjan Sabaruddin Daud, Nurunnisa Abu Bakar.

Noraziah tidak menghadiri majlis tersebut, namun kelibat dua anaknya, Nor Akhmal Aminuddin, 5, dan Nor Mohd. Akhil, 1, yang asyik bermain semasa majlis tersebut mengundang perhatian dan simpati tetamu yang hadir.

Menurut Khalifah, bagi memulakan hidup baharu, Noraziah yang juga seorang guru memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu, supaya ditukarkan sekolah dan permohonan tersebut telah diluluskan.

Jelasnya, Noraziah akan memulakan tugas di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, mulai Isnin ini dan mereka sekeluarga akan bertolak ke Kampung Sena, Kangar pada Jumaat ini selepas menguruskan perpindahan.

"Mungkin ini cara terbaik untuk anak makcik kembali pulih dari kesedihan yang ditanggungnya. Sebagai emak, makcik akan menyokong apa jua keputusan yang dibuat oleh anak makcik," katanya.

Ujar beliau, kenduri tahlil untuk Allahyarham Zulkifli akan diadakan Rabu depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment