My Add

Saturday 9 March 2013

Berhati-hati buat kenyataan, laporan pencecorohan Lahad Datu: Muhyiddin

PORT DICKSON, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan atau laporan mengenai isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sehingga menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan di kalangan rakyat.

Beliau berkata sebaiknya perkara itu diserahkan kepada jurucakap kerajaan yang berada di lapangan yang lebih mengetahui dan mempunyai sumber maklumat tepat mengenai kejadian itu.

"Sepatutnya hal sebegitu tidak boleh dipandang mudah kerana ini soal keselamatan negara. Kita tahu hal yang berlaku di Lahad Datu dan juga kawasan di Sabah itu sesuatu yang amat serius dan mengkibatkan banyak nyawa terkorban.

"Di peringkat di mana pasukan keselamatan sedang berhadapan hal sebegini, kita harap tidak ada pihak yang secara sewenang-wenangnya sama ada dalam bentuk media sosial atau cara bagaimana mengeluarkan kenyataan seolah-olah dia lebih berautoritatif," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program
Memperkukuh Bahasa Inggeris dan Literasi peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai 'lambakan' laporan dalam media sosial dan blog mengenai pencerobohan di Lahad Datu yang mungkin mengandungi maklumat tidak benar yang menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat dan boleh memberikan kesan terhadap operasi pasukan keselamatan di sana.

Katanya, sebarang kenyataan atau laporan yang hendak dikeluarkan mengenai kejadian itu tidak boleh dibuat secara rambang apatah lagi ia menyentuh soal keselamatan dan kedaulatan negara.

Katanya, seharusnya pengamal-pengamal media baharu dan blogger menunggu atau merujuk kepada sumber-sumber yang sah dan memastikan kesahihan sesuatu laporan itu sebelum mengeluarkannya.

"Kita mesti ada asas yang kukuh supaya pihak berkuasa boleh bertindak...ini boleh menimbulkan rasa kebimbangan, ketakutan yang mungkin tidak berasas kalau ia dikeluarkan oleh sumber-sumber yang tidak pasti benar atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata laporan yang dikeluarkan bukan sahaja akan dibaca oleh rakyat di negara ini malah di luar negara yang turut membuat pelbagai andaian dan analisis mereka sendiri tentang kejadian itu dan negara ini.

Katanya, jika ada sebarang laporan atau berita yang dikeluarkan dianggap boleh mengancam keselamatan negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh memanggil penulis atau blogger terbabit dan menyiasat sumber maklumat dan kesahihannya.

Ditanya sama ada pencerobohan di Lahad Datu memberi kesan terhadap tarikh pilihan raya umum ke-13, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, perkara itu tidak seharusnya dipolitikkan dan rakyat juga boleh menilai bagaimana kejadian itu berlaku.

Katanya, apa yang penting ketika ini adalah bagaimana langkah-langkah yang bijaksana diambil pasukan keselamatan negara dan kerajaan dalam menyelesaikan masalah itu.

"Jelas terbukti bahawa operasi yang telah dijalankan itu agak berkesan, kita tidak boleh buat andaian kerana kita duduk di sini, yang lebih tahu adalah orang yang ada 'di bawah, di atas tanah' (di lapangan) yang menangani masalah secara realiti bukan andaian," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment