My Add

Wednesday 13 March 2013

Bina rumah mewah, kampung Melayu di Balik Pulau bakal lenyap

Oleh ZABRY MOHAMAD
BALIK PULAU, SELASA, 12 Mac, 2013: Trend warga asing membeli atau mendiami taman perumahan baharu yang dibina pemaju di kawasan perkampungan Melayu dibimbangi akan menyebabkan penempatan tradisi kaum itu lenyap secara perlahan-lahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, keadaan itu berlaku berikutan dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang membenarkan pemaju membina rumah-rumah mewah di celah-celah perkampungan Melayu.

Menurutnya, meskipun jumlah warga asing terbabit tidak diketahui namun perkara itu jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan orang Melayu terutama generasi muda berhijrah kerana tidak mampu membeli rumah berikutan harganya yang terlalu tinggi.

"Memang orang kampung tidak mampu membelinya termasuk pasangan muda yang baru berkahwin dan akhirnya mereka terpaksa berpindah.

"Kalau gaji mereka RM10,000 sebulan sekali pun, tidak mungkin mereka mampu memiliki rumah teres yang berharga paling rendah RM500,000. Sudah ada orang luar (warga asing) masuk ke sini dan membelinya," dakwanya.

Beliau ditemui pemberita dalam program Sepetang Bersama ADUN Teluk Bahang anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengurus Besar TNB Pulau Pinang, S. N. Mohandass.

Hilmi memberitahu, beliau bimbang fenomena itu seolah-olah sengaja dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang bagi melenyapkan perkampungan Melayu di Balik Pulau.

Katanya, sejak lima tahun mentadbir tiada satu pun rumah mampu milik dibina di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment