My Add

Monday 4 March 2013

BN bukan kerajaan roboh peluang usahawan Bumiputera - PM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Mac, 2013: Kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan kerajaan yang meranap atau merobohkan peluang usahawan Bumiputera untuk berniaga, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kerajaan BN juga bukan kerajaan populis yang tidak bertanggungjawab, sebaliknya segala dasar yang dibuat dan dilaksanakan terhasil daripada penuh ketelitian berpandukan kepada kemampuan negara.

"Tidak seperti sesetengah pihak yang begitu senang menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala tanpa mengambil kira kesannya. Apa nak jadi, jadi, asalkan dapat kuasa.

"Yakinlah, kerajaan tidak pekak dan bisu atau tunggul yang membatu tetapi tangkas dan tuntas menyahut cabaran dan keperluan agenda ekonomi negara," katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang juga pengerusi perhimpunan itu, Khairy Jamaluddin.

Perhimpunan yang julung kali diadakan dan bertemakan, "Bersama Memacu Kejayaan" dihadiri lebih 3,000 usahawan bumiputera dari seluruh negara.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan berjumlah RM600 juta dalam usaha kerajaan memperkasakan lagi usahawan Bumiputera, sekali gus melonjakkan penglibatan mereka ke arena global.

Beliau juga berkata, segala apa yang diaspirasikan menuntut kepada kesepaduan kerja kuat daripada semua pihak.

"Oleh itu, sebagai sebuah kerajaan, kita akan menakhoda bahtera negara dengan penuh iltizam.

"Kita akan bekerja keras dengan penuh bijaksana agar destinasi yang dituju dapat kita sampai dengan selamat dan sejahtera. Sesungguhnya, masa depan kita dan masa depan anak-anak kita bergantung kepada keputusan hari ini," katanya.

Najib menegaskan, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mesra usahawan bumiputera, bertanggungjawab, istiqamah, dan yang paling penting sentiasa menepati janji.

"Marilah kita sama-sama berganding bahu dan tangan bagi memastikan dasar yang dapat membantu usahawan Bumiputera (dilaksanakan) tetapi dapat diselamatkan, jika dalam PRU-13 nanti, kita menyokong kerajaan pimpinan BN," katanya.

Beliau berkata, ini kerana tiada kerajaan lain yang dapat membela rakyat kecuali kerajaan yang ada pada hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment