My Add

Wednesday 6 March 2013

Cubaan keruhkan hubungan Malaysia-Filipina?

*SHAFIE Afdal dan Wan Mohamad Zuki Mohamad bersama kakitangan RISDA pada Majlis Perjumpaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama warga RISDA Zon Utara di Gopeng, Perak, semalam. - utusan/Roy Azis Abd. Aziz

GOPENG, SELASA, 05 Mac, 2013: Kerajaan perlu menyiasat dan mengambil tindakan ke atas dalang di sebalik demonstrasi di pejabat Kedutaan Malaysia di Filipina yang membayangkan wujud cubaan pihak tertentu untuk mengeruhkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perkembangan terbaharu itu perlu diberi perhatian serius kerana ada pihak yang mahu mengambil kesempatan dengan mempolitikkan insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna di Sabah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, pihak terbabit tidak sepatutnya bertindak di luar kawalan memandangkan perbuatan menceroboh kedaulatan sebuah negara bukan perkara yang boleh diambil ringan.

''Bayangkan kalau ada sekumpulan orang masuk ke negara mereka dan mendakwa pula negara itu mereka yang punya. Adakah buat (berdemonstrasi) sebegitu perkara wajar?

''Saya harap satu tindakan diambil kepada pihak-pihak ini kerana ada pihak yang sengaja buat kekacauan untuk buat kita (Malaysia) dengan Filipina bertelingkah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kakitangan RISDA Zon Utara di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Beliau diminta mengulas bantahan sekumpulan penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan dengan membakar Jalur Gemilang dan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan Kedutaan Malaysia di Filipina sambil mendesak serangan ke atas kumpulan penceroboh di Sabah dihentikan.

Mohd. Shafie berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang mengupah pihak berkenaan untuk menimbulkan ketegangan kerana iri hati dengan peranan berkesan Malaysia dalam menyelesaikan konflik di selatan Filipina.

Beliau menegaskan, senario sebenar tidak memungkinkan kumpulan yang mendakwa tentera Kesultanan Sulu menuntut negeri Sabah, sedangkan mereka tidak mendapat sokongan di tempat mereka sendiri.

''Mereka tiada hak langsung sedangkan di Mindanao sendiri pun mereka tidak dapat kawal. Misalnya di pulau seperti Tawi-Tawi, Sibutu dan Sitangkai, kalau mereka ini raja berdaulat, sudah tentu mereka sudah dimartabatkan di kawasan ini. Tetapi itu tidak berlaku.

''Saya percaya gabenor-gabenor di sana (kepulauan) itu pun tidak menyokong mereka. Malah, kerajaan Filipina sendiri menyatakan mereka menyokong apa juga tindakan pihak keselamatan ke atas kumpulan ini kerana Malaysia sebuah negara berdaulat," tegas beliau.

Beliau juga mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan insiden pencerobohan kerana soal memelihara keselamatan negara perlu dijadikan keutamaan.

''Jangan pertaruh keselamatan negara. Ini sangat penting, jauh lebih penting daripada undi ke Putrajaya. Bertimbang rasalah dengan rakyat kita di Sabah," ujar beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment