My Add

Tuesday 26 March 2013

CUEPACS cadang KSA1M wujudkan skim mudah penjawat awam

KUALA LUMPUR, ISNIN 25 Mac, 2013.: Koperasi Sektor Awam 1Malaysia (KSA1M) disaran mewujudkan skim pinjaman mudah untuk penjawat awam.

Dalam membuat cadangan itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, berkata ia bagi mengelak penjawat awam daripada membuat pinjaman dari peminjam wang haram atau 'Along' dan agensi pinjaman yang mengenakan faedah tinggi yang dilihat membebankan.

"Skim pinjaman ini sesuai untuk perkara seperti kematian, persekolahan anak dan memperbaharui cukai jalan yang membolehkan peminjam memperoleh wang segera tanpa penjamin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung pertama KSA1M di Wisma CUEPACS di sini, hari ini.

Omar berkata, melalui skim itu, penjawat awam misalnya boleh meminjam maksimum RM2,000 dengan tempoh bayaran balik selama tiga hingga enam bulan melalui potongan gaji.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Saripuddin Kasim.

Dalam pada itu, Omar menggesa semua penjawat awam menjadi anggota KSA1M untuk menikmati kemudahan yang disediakan. Sehingga kini, 200 penjawat awam sudah mendaftar sebagai anggota koperasi itu.

Dalam pada itu, beliau berkata KSA1M akan mengendalikan dua Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) iaitu di Bandar Tun Razak di sini dan Presint 16, Putrajaya selain peruntukan RM1.3 juta yang disalurkan KPDNKK untuk tujuan itu.
Omar berkata, kedua-dua kedai dan peruntukan itu akan diserahkan secara rasmi April ini.

KSA1M ditubuhkan Februari tahun lalu dan keanggotaannya terbuka kepada semua penjawat awam untuk menambah pendapatan kumpulan pekerja itu- BERNAMA

No comments:

Post a Comment