My Add

Wednesday 6 March 2013

Daftar parti IKATAN: Abdul Kadir peroleh kebenaran semakan kehakiman

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Mac, 2013: Bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman berhubung pendaftaran Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) yang diasaskannya.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu di dalam kamar selepas mendengar hujah peguam K Ragunath yang mewakili Abdul Kadir dan Peguam Kanan Persekutuan Muzila Mohamed Arsad yang mewakili Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Hakim Zaleha turut menetapkan kos akan ditafsir kelak.

Di luar mahkamah, Ragunath memberitahu pemberita bahawa pihaknya mempertikaikan tindakan ROS yang tidak memaklumkan status permohonan Abdul Kadir walaupun ia dikemukakan sejak lapan bulan lalu.

Sementara Muzila pula berhujah permohonan Abdul Kadir adalah pramatang kerana ia masih lagi di bawah pertimbangan ROS.

Hakim Zaleha menetapkan 20 Mac untuk pengurusan kes.

Pada 15 Februari lalu, Abdul Kadir memfailkan permohonan untuk kebenaran semakan kehakiman bagi mengarahkan ROS mendaftarkan parti IKATAN.
Abdul Kadir, yang juga pengasas IKATAN mendakwa pihaknya menyerahkan Borang Pendaftar bagi mendaftar parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 6 Jun tahun lalu.

Bekas Menteri Pelancongan itu mendakwa beliau percaya responden bertindak secara ultra vires dan bertentangan dengan prosedur undang-undang kerana gagal memberi jawapan terhadap permohonannya itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment