My Add

Friday 22 March 2013

Datum Jelatek: Pimpinan Pas Selangor membisu

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Mac, 2013: Pemimpin-pemimpin Pas di Selangor dilihat lebih gemar membisu dan mengelak daripada memberikan sebaran maklumat tentang projek mewah Datum Jelatek di Keramat, dekat sini.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, sehingga kini, belum kedengaran ulasan, pandangan dan kenyataan berhubung projek tersebut dikeluarkan oleh pimpinan Pas Selangor.

Menurut beliau, pimpinan Pas Selangor hanya berdiam diri sedangkan salah seorang daripada mereka ialah Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

''Barisan Bertindak Datum Jelatek telah mengadakan siri demonstrasi dan bantahan di kawasan-kawasan berhampiran projek berkenaan untuk menerangkan kepada masyarakat tentang projek itu dan implikasinya kepada orang Melayu dan Islam di Selangor.

''Namun, rakyat Selangor diberitahu, PKNS akan meneruskan projek yang bakal meminggirkan dan memupuskan orang Melayu dan Islam di kawasan terbabit walaupun mendapat tentangan dan bantahan,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor mengulas pendirian Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk meneruskan projek Datum Jelatek walaupun dibantah pelbagai pihak.

Beliau juga amat kesal dengan kegagalan ahli-ahli Exco kerajaan PKR Selangor daripada Pas membawa mesej perjuangan parti untuk mempertahankan kedudukan orang Melayu dan Islam di negeri tersebut.

''Sepanjang empat tahun saya menjadi Exco dahulu, saya dapati ahli-ahli Exco Pas yang lain tidak banyak mengemukakan pandangan yang menggambarkan perjuangan sebuah parti Islam sama ada dalam sesi Dewan Undangan Negeri (DUN), acara bertemu rakyat atau majlis-majlis dialog,'' ujarnya.

Hasan memberitahu, wakil-wakil Pas di dalam Kerajaan PKR Selangor seolah-olah disumbat mulut mereka sehingga menjadikan mereka kaku dan tidak bermaya untuk mengutarakan sesuatu pandangan yang melambangkan perjuangan sebuah parti politik Islam.

''Masyarakat ingin tahu apakah yang telah dilakukan oleh pimpinan Pas khususnya yang bergelar ahli-ahli Exco Kerajaan PKR Selangor secara konkritnya sebagai mewakili parti Islam di negara ini.

''Tiada siapa yang boleh menyandarkan harapan kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memainkan peranan mempertahankan Islam dan orang Melayu melainkan pimpinan Pas sendiri,'' katanya.

Hasan menjelaskan, kebimbangan tentang kedudukan orang Melayu dan Islam yang semakin terhakis dan pupus di Selangor akan menjadi kenyataan sekiranya pakatan pembangkang terus diberikan mandat untuk memerintah negeri itu selama lima tahun lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment