My Add

Tuesday 26 March 2013

Deklamasi sajak Daulat sempena Hari Polis IPK Johor
 
 *YUSUF Ramji mendeklamasikan sajak Daulat dengan penuh semangat sempena
 majlis sambutan Hari Polis ke-206 di IPK Johor di Johor Bahru hari ini. - UTUSAN

Oleh NURUL HUDA HASSAN
JOHOR BAHRU, ISNIN, 25 Mac, 2013: Suasana sedih dan pilu menyelubungi perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini apabila sajak bertajuk Daulat dideklamasikan sempena peringatan Hari Polis ke-206.

Sajak hasil nukilan Timbalan Ketua Balai Polis Permas Jaya, Sarjan Yusuf Ramji itu yang disampaikannya sendiri begitu menyentuh perasaan tetamu.

Sajak itu dihasilkan sebagai menghargai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas mempertahankan kedaulatan negara di Sabah sempena sambutan Hari Polis Peringkat Kontinjen Negeri Johor.

"Biarpun saya dan rakan-rakan lain tidak bersama-sama mereka di sana, saya berharap sajak ini dapat membangkitkan semangat mereka dan seluruh keluarga PDRM terutama ketika kita menyambut hari penuh bermakna ini," kata Yusuf.

Tambahnya, sajak tersebut juga dicipta dengan harapan dapat menggambarkan betapa besar pengorbanan pihak keselamatan dalam usaha menjaga kedaulatan negara terutama dalam memastikan keamanan negara terus terjamin.

Yusuf yang memang berminat dalam penciptaan sajak, sudah menghasilkan lebih 10 buah sajak dan pernah memenangi tempat kedua dalam pertandingan Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan 2010 dan johan di peringkat PDRM.

Sementara itu, pada majlis yang diketuai Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim, seramai 78 orang yang melibatkan pegawai polis kontinjen Johor, anggota dan orang awam menerima surat penghargaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment