My Add

Sunday 10 March 2013

Deklarasi ijtimak ummah tolak pembangkang dalam PRU-13

BUKIT MERTAJAM, SABTU, 09 Mac, 2013: Umat Islam wajib menolak keputusan pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam, seterusnya menolak pakatan tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 demi mempertahankan akidah.

Dua ketetapan itu terkandung dalam Deklarasi Permatang Pauh yang dilancarkan dalam Ijtimak Ummah Mempertahan Kalimah Allah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini hari ini.

Ia dibacakan oleh Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin.

Deklarasi tersebut juga bersetuju dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang menegaskan kalimah Allah adalah merujuk kepada Tuhan orang Islam, justeru terjemahan God atau Lord kepada perkataan Allah adalah penyalahgunaan kalimah itu dan harus ditegah.

Mohamed Hafiz ketika ditemui selepas itu memberitahu, tuntutan dan keputusan pembangkang berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sebenarnya bercanggah dengan keputusan Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan, fatwa mufti negeri-negeri dan enakmen agama Islam negeri-negeri.

Selain itu jelasnya, semua pihak harus meyakini bahawa dengan membenarkan perkara itu boleh membawa kepada syirik dan kufur.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali memberitahu, semua pihak harus bergabung untuk menjadi kumpulan pendesak bagi mendidik pemimpin dan masyarakat mengenai isu berkenaan.

"Mereka yang diberi kuasa harus faham isu kalimah Allah ini. Isu ini akan menjadi agenda besar dalam kempen pilihan raya nanti dan semua pihak perlu berhati-hati," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment