My Add

Thursday 7 March 2013

Disemadi sebelah pusara Kanang Anak Langkau

 Michael Padel
Oleh ZAAIN ZIN
KUCHING, RABU, 06 Mac, 2013: Mendiang Deputi Supritendan Michael Padel, pegawai polis yang terbunuh dalam serangan hendap di Semporna, Sabah Sabtu lalu selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Jalan Taman Budaya di sini hari ini.

Michael, 36, dikebumikan pada pukul 11 pagi dan menerima penghormatan tertinggi daripada kerajaan negeri apabila pusaranya ditempatkan bersebelahan wira negara, mendiang Pegawai Waran 1 (B) Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau.

Pengiktirafan itu juga menjadikan mendiang anggota polis pertama disemadikan di makam bersejarah tersebut yang turut menempatkan 21 'Bujang Berani' iaitu anggota Iban Trackers dan Sarawak Rangers yang terkorban ketika serangan komunis di Semenanjung Malaysia.

Selain keluarga dan saudara-mara, upacara pengebumian disaksikan kira-kira 1,000 hadirin terdiri daripada orang awam, anggota polis serta pegawai kerajaan yang berhimpun di pekarangan Makam Pahlawan seawal pukul 10 pagi.

Upacara tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta isteri, Puan Sri Imran Ibrahim yang memberi penghormatan terakhir kepada balu mendiang, Jabah Mingku Voon.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang juga hadir memberi penghormatan terakhir t mewakili kerajaan negeri manakala Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Datuk Seri Michael Manyin Jawong mewakili masyarakat Bidayuh Sarawak.

Hadir sama Panglima 3 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Redzuan Baharuddin; Pengarah Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene dan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Sementara itu, Khalid ketika ditemui pemberita menghargai usaha kerajaan negeri memberi penghormatan dan pengiktirafan sewajarnya kepada mendiang.

"Penghargaan ini adalah yang tertinggi pernah pahlawan kami terima dari kerajaan negeri. Saya amat terharu dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak," katanya.

Sementara itu, Jabah meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan para pengikut parti itu supaya berhenti menghina pasukan keselamatan yang bermati-matian mempertahankan kedaulatan negara.

Jabah melahirkan rasa kecewa melihat gelagat para penyokong pembangkang termasuk pemimpinnya yang sentiasa memperlekehkan pasukan keselamatan.

"Melihat sikap pembangkang, saya terpaksa tahan perasaan marah yang membuak-buak. Kepada Datin Seri Wan Azizah, sebagai seorang isteri dan ibu, anda sepatutnya faham keperitan saya yang baru sahaja kehilangan tonggak keluarga.

"Jadi sila tampil ke depan dan beritahu suami anda tidak ada kena mengena dengan pencerobohan ini kerana saya sudah mula menyimpan rasa marah terhadapnya, " katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment