My Add

Friday 8 March 2013

Diskaun kepada penyewa perumahan DBKL sempena Hari Wilayah

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2013, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi beberapa insentif kepada penyewa perumahan DBKL yang tidak mempunyai tunggakan sewa.

Diskaun 10 peratus akan diberikan kepada setiap penyewa yang membayar pendahuluan sewa untuk tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini dengan syarat perlu membayar bermula 1 Mac hingga 30 April sahaja.

DBKL dalam kenyataannya hari ini berkata, insentif itu khusus kepada penyewa yang membuat bayaran secara sendiri dan bukan dibayar oleh pemberi subsidi atau bantuan pihak ketiga.

Bentuk insentif lain diberikan ialah ganjaran melalui 55 cabutan bertuah dan surat penghargaan kepada penyewa yang mempunyai rekod pembayaran teratur bagi tempoh Januari 2012 hingga Disember 2012.

Menurut kenyataan itu, ganjaran cabutan bertuah yang ditawarkan ialah tiga buah motosikal Modenas 125cc bernilai RM5,000 hingga RM6,000 seunit, lima buah TV LED, tujuh buah telefon bimbit, 10 buah basikal, 15 buah barang elektrik dan 15 cenderamata bernilai RM300 sebuah.

Sehingga 31 Disember tahun lepas, sejumlah RM54.9 juta tunggakan sewa penghuni perumahan DBKL direkodkan yang merangkumi tunggakan semasa RM33.5 juta dan tunggakan terkumpul RM21.4 juta.

DBKL melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi mengurangkan jumlah tunggakan sewa, termasuk yang terkini mewujudkan Skim Bantuan Sewa dan Tunggakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA), kepada penyewa yang layak dan berdaftar dengan e-kasih serta telah melalui tapisan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment