My Add

Sunday 10 March 2013

Dr. Mahathir terus berpolitik selagi wujud penentang DEB

KUALA LUMPUR, AHAD, 10 Mac, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau akan terus melibatkan diri dalam politik selagi masih wujud penentang Dasar Ekonomi Baharu (DEB), satu dasar yang membantu bumiputera merapatkan jurang ekonomi dengan kaum-kaum lain.

"Apabila saya mendapat tahu bahawa pembangkang menolak Dasar Ekonomi Baharu (DEB), saya berasakan perlu untuk menyuarakan ketakutan demi masa depan negara yang tercinta.

"Selagi penentang-penentang saya mempunyai hak untuk membantah penyertaan saya dalam politik, saya juga mempunyai hak untuk mempunyai pendapat yang berbeza,’’ tegas Dr. Mahathir dalam laman blognya, chedet.com.

Menurut belia, pembangkang walaupun mempunyai ramai kaum Melayu di dalamnya namun mereka tidak mampu mentadbir dan mengurangkan resolusi kompleks jurang antara kaum.

"Ada orang berkata, selagi ada rakyat Malaysia boleh buat dengan baik, tidak perlu melihat latar belakang kaumnya,’’ katanya.

Namun, Dr. Mahathir menjelaskan, amat malang di Malaysia apabila setiap orang telah dikelaskan berdasarkan kaum masing-masing.

"Kita semua memelihara bahasa sendiri, sekolah sendiri, budaya sendiri dan persekitaran yang diduduki sendiri.

"Sekiranya ada rakyat Malaysia dari satu kaum yang buat baik serta kaya dan satu kaum lagi miskin, maka kaum yang kurang bernasib baik dan miskin itu akan membenci terhadap kewujudan jurang ekonomi itu.

"Situasi itu akan mendorong kepada perpecahan dan ketegangan di antara kaum. Malah, ia boleh mendorong ke arah keganasan,’’ ujarnya sebagai mengulas pentingnya DEB dilaksanakan.

Beliau yang sedar tindakannya terus aktif berpolitik walaupun sudah bersara tidak disenangi sesetengah pihak, namun kata Dr. Mahathir, sebagai seorang rakyat Malaysia beliau mempunyai hak untuk menyuarakan kritikan atau menyokong tindakan terhadap mana-mana parti-parti politik.

"Kelihatan seperti terdapat kalangan masyarakat yang tidak gembira dengan penglibatan berterusan saya dalam politik. Sebagai seorang pesara, saya sepatutnya bersara,’’ kata beliau.

Dr. Mahathir berkata, tindakannya itu juga sebagai tanda sokongan beliau terhadap parti pemerintah iaitu Barisan Nasional (BN).

Malah, sokongan yang telah beliau berikan selepas bersara sebagai Perdana Menteri pada 2002 merupakan pembalasan jasanya kepada parti itu.

Tambah Dr. Mahathir, beliau sebenarnya telah merancang untuk bersara dari kerajaan dan parti pada 1998 lagi.

Namun katanya, keadaan pada waktu itu telah memaksa beliau menangguhkan hasrat tersebut sehingga krisis kewangan Malaysia stabil dan hanya mengumumkan persaraannya pada 2002. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment