My Add

Monday 4 March 2013

Dua lagi keganasan di selatan Thailand

 *PASUKAN keselamatan Thailand memeriksa tempat insiden serangan bom
di wilayah Yala, semalam yang mengorbankan dua orang renjer dan seorang
anggota pemisah. - REUTERS

YALA, AHAD, 03 Mac, 2013: Dua lagi insiden keganasan berlaku di wilayah selatan Thailand, semalam mengakibatkan dua orang renjer dan seorang anggota pemisah terbunuh, masuk hari kedua berturut-turut keganasan tercetus di wilayah itu, selepas rundingan damai ditandatangani bagi menamatkan keganasan di wilayah itu.

Serangan itu menyusuri satu letupan bom di sebuah pasar yang sibuk di Narathiwat, kelmarin, tidak sampai sehari selepas Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC), Paradorn Pattanatabutr menandatangani perjanjian damai dengan Ketua Barisan Revolusi Nasional (BRN), Hassan Taib di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian pertama, sebuah bom motosikal meletup berhampiran kenderaan yang dinaiki sekumpulan anggota renjer berdekatan taman Srimuang, daerah Muang, Yala, pada pukul 2.25 petang.

Seorang anggota renjer terbunuh di tempat kejadian dan seorang lagi maut ketika tiba di hospital, manakala tujuh anggota renjer dan empat orang awam cedera dalam insiden itu, dipercayai dilakukan oleh kumpulan Roki Dolae, satu daripada kumpulan pemisah utama di Yala.

Dalam insiden kedua, seorang pemimpin kumpulan pemisah Runda Kumpalan Kecil (RKK), Masa-e Hajidiyoliya, 30, terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan tentera lewat malam tadi di daerah Rangae, Narathiwat.

Masa-e merupakan antara enam lelaki yang dikehendaki pihak berkuasa Thailand kerana dikaitkan dengan enam insiden keganasan sejak 2007.

Sementara itu, jurucakap Parti Demokrat Thailand, Chavanond Intarakomalyasut, semalam berkata, terdapat agenda tersembunyi di sebalik rundingan damai antara kerajaan dengan BRN.

Beliau berkata, Hassan, merupakan antara yang terlibat bersama bekas Ketua Tentera Thailand, Chettha Thanajaro, mengadakan rundingan mengenai gencatan senjata lima tahun lalu.

Chavanond berkata, sekiranya Hassan pernah terlibat dalam rundingan itu, maka usaha terbaharu juga berkemungkinan tidak berjaya seperti yang berlaku 2008. - AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment