My Add

Friday 22 March 2013

Ekonomi Pulau Pinang terus merudum


 *ONG Thean Lye (dua dari kiri) bersama rakan-rakannya menunjukkan keratan
 akhbar yang melaporkan Lim Guan Eng memberikan fakta tidak tepat mengenai
 pelaburan di Pulau Pinang pada sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG, KHAMIS, 21 Mac, 2013:Ekonomi negeri ini terus merudum selepas mencatatkan jumlah pelaburan bernilai RM2.47 bilion tahun lalu berbanding RM9.11 bilion pada 2011 dan RM12.24 bilion (2010).

 
 Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Ong Thean Lye berkata, keadaan ini amat membimbangkan kerana ia dilihat tidak menjanjikan masa depan cerah kepada rakyat.

Menurut beliau, keadaan itu juga berbeza berbanding semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang mana pelbagai program dilaksanakan bagi melonjakkan aktiviti-aktiviti bernilai rendah kepada bernilai tinggi.

"Namun, di bawah Kerajaan DAP Pulau Pinang sekarang, tidak nampak perancangan utama dilakukan untuk membawa negeri ini ke tahap lebih baik," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menambah, turut menunjukkan penurunan ialah pelaburan asing daripada RM10.45 bilion pada 2010 kepada RM1.13 bilion tahun lalu.

Apa yang menghairankan, menurutnya, penyertaan utama pekilang dari negara luar sepanjang tiga tahun lalu datang dari Amerika Syarikat (AS), Jepun, Jerman dan Belanda.

"Sedangkan kita mendapati kebanyakan delegasi Kerajaan DAP Pulau Pinang mencari peluang pelaburan di negara lain seperti Korea, Taiwan, China, Hong Kong dan Australia," ujarnya.

Selain pelaburan katanya, turut menunjukkan penurunan sepanjang tempoh yang sama ialah peluang pekerjaan iaitu daripada 21,618 kekosongan jawatan pada 2010 kepada 14,293 (2011) dan 10,359 (2012).

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban, Goh Kheng Sneah berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai keadaan semasa ekonomi negeri ini dan ramalan pada masa depan.

Menurutnya, beliau juga difahamkan banyak kilang mahu menutup operasi dan keluar dari negeri ini.

"Saya minta Guan Eng tolong jawab adakah perkara ini benar," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment