My Add

Thursday 14 March 2013

Fasa kedua BR1M 2.0 di Kedah mulai 19 Mac

JITRA, KHAMIS, 14 Mac, 2013: Pemberian fasa kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 di Kedah mulai 19 Mac ini hanya membabitkan kira-kira 40 peratus daripada 524,159 orang yang layak menerima bantuan itu.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata jumlah itu termasuk 146,955 orang bujang penerima BR1M sebanyak RM250 untuk kali pertama.

Beliau berkata, BR1M 2.0 yang turut membabitkan bantuan kepada orang bujang berjumlah RM225,340,750 itu merekodkan peningkatan hampir 40 peratus berbanding BR1M 1.0 yang diberikan tahun lalu.

"Jumlah itu dijangka bertambah, namun kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan mencukupi sekiranya ada rayuan golongan yang layak menerimanya tetapi tercicir disebabkan faktor tertentu," katanya di sini, hari ini.

Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata kepada pemberita selepas menyampaikan dividen ternakan lembu secara integrasi dalam ladang FELCRA di bawah Program Peningkatan Pendapatan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Dividen itu hasil keuntungan projek itu tahun lalu dan diagihkan Felcra tiga kali sejak 2010 kepada golongan miskin yang tersenarai dalam e-Kasih.

Katanya, FELCRA memilih 725 orang dari seluruh negara dengan setiap orang menerima RM600 manakala untuk Kedah seramai 30 orang dari kawasan Parlimen Kubang Pasu dan Jerlun dipilih menerima dividen itu.

FELCRA mengusahakan 12 projek ternakan lembu itu dengan bantuan KKLW di Johor, Perak dan Sabah sejak 1999. Keuntungan hasil projek dikongsi bersama peserta FELCRA seluruh negara. - BH

No comments:

Post a Comment