My Add

Wednesday 6 March 2013

Felda Global sumbang RM100,000 kepada 8 keluarga polis

MARAN, RABU, 06 Mac, 2013: Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) akan menyumbang RM100,000 kepada lapan keluarga anggota polis yang terkorban akibat serangan hendap kumpulan pengganas Sulu yang menceroboh Lahat Datu dan Semporna di Sabah.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad Abdul Samad berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM20,000 akan disumbangkan kepada dua keluarga anggota polis yang terkorban di Felda Sahabat 17, di Lahad Datu.

Sementara RM10,000 akan disumbangkan kepada setiap enam keluarga anggota polis yang terkorban akibat serangan hendap di Kampung Simunul, Semporna.

"Sumbangan tersebut bagi menghargai pengorbanan dan keberanian anggota polis berkenaan yang menggadaikan nyawa mempertahankan kedaulatan tanah air daripada dicerobohi pengganas.

"Pengorbanan mereka sebenarnya tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit bagi menjamin keselamatan negara dan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kami Prihatin Yayasan Felda di Felda Jengka 15 dekat sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail.

Dalam pada itu, Mohd. Isa berkata, semua pekerja ladang, keluarga peneroka dan petugas Felda Gugusan Sahabat yang terdiri daripada 55 ladang Felda Plantations dan dua tanah rancangan sentiasa mematuhi arahan pasukan keselamatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Felda memperuntukkan RM22 juta bagi membaik pulih 4,350 rumah penduduk miskin yang tinggal di kawasan berhampiran tanah rancangan Felda.

Sehingga kini, sebanyak 1,300 buah rumah siap dibaiki di seluruh negara dengan peruntukan RM5,000 bagi setiap rumah.

Pada majlis itu, Mohd. Isa turut melancarkan Tabung Bantuan Mangsa Pencerobohan Sabah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment