My Add

Monday 11 March 2013

Filipina tingkat kawalan di perairan kepulauan Sulu: Zahid

IPOH, AHAD, 10 Mac, 2013: Kerajaan Filipina mempertingkat kawalan di perairan Kepulauan Sulu bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu dari selatan negara itu di Lahad Datu, Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu diberitahu sendiri oleh Setiausaha Pertahanan Filipina, Voltaire T Gazmin yang menghubunginya baru-baru ini.

Katanya, tentera laut dan pengawal pantai Filipina turut mengadakan operasi di perairan itu bagi tujuan menyekat mana-mana penduduk dari Kepulauan Sulu untuk menyeberang ke Sabah.

Malaysia amat menghargai usaha yang dilakukan kerajaan Filipina itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Barisan Nasional dan Badan Bukan Kerajaan kawasan Gopeng di sini hari ini.

Beliau berkata, Filipina turut menyatakan hubungan diplomatik dengan Malaysia tidak terjejas dengan insiden itu.

Ahmad Zahid berkata, beliau berharap Jamalul Kiram, didakwa dalang pencerobohan itu, sedar bahawa kerajaan Filipina tidak menyokong mereka.

Mengenai kenyataan Jamalul Kiram yang mengisytiharkan perjuangannya itu adalah satu jihad, beliau berkata: "Itu istilah dia...jihad apa kalau menggunakan anak-anak buah untuk menceroboh negara orang, apa makna jihad kalau mereka mati dengan tidak ada penghormatan. 

"Saya melihat gambar mereka dicampakkan di lubang yang digali cuma dua kaki ditutup dengan papan dan pelepah kelapa sawit. Adakah itu jihad? Jihad mesti menghormati jenazah...bukan dengan cara tidak menghormati jenazah kawan-kawannya yang sudah meninggal," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment