My Add

Thursday 14 March 2013

Fitnah punca pencerobohan

 *PARA jemaah mengaminkan doa yang dibaca oleh Syeikh Mohammad Sharif
Mohammad Imrani Al-Hafiz di Masjid Ar-Rahmah Taman Wira Mergong, Alor
Setar, semalam.

ALOR SETAR, RABU, 13 Mac, 2013: Imam dari Mekah, Syeikh Mohammad Sharif Mohammad Imrani Al-Hafiz berkata, firasatnya kuat menyatakan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan beberapa kawasan lain di Sabah adalah berpunca daripada fitnah yang didalangi pihak tertentu.

Sambil menegaskan tidak mahu mencampuri soal politik atau menuduh mana-mana pihak, jelas beliau, fitnah tersebut disebabkan 'orang cuba kacau' untuk menggugat keamanan negara.

"Di Lahad Datu sebelum ini aman, kenapa sekarang berlaku begini? Ia kerana fitnah sebab kamu semua dan Malaysia sebelum ini selamat tetapi ada orang tertentu membuat fitnah.

"Contohnya, macam saya sedang selamat duduk di dalam rumah saya tetapi ada orang datang kacau saya, ia disebabkan fitnah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan tazkirah maghrib dan mengimamkan solat sunat hajat bagi mendoakan keselamatan pasukan keselamatan yang bertugas mempertahankan kedaulatan negara di Sabah di Masjid Ar-Rahmah Taman Wira Mergong di sini malam tadi.

Solat sunat hajat anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kota Setar itu turut dihadiri oleh Pengerusinya, Datuk Yusof Ismail dan kira-kira 3,000 jemaah yang lain.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam program Conversation With The PM yang disiarkan di TV3 memberitahu, kerajaan percaya penceroboh Sulu dibiayai oleh pihak tertentu dan perkara itu akan terus disiasat untuk memastikan kebenarannya.

Syeikh Mohammad Sharif berkata, penyebar fitnah terbabit akan menerima akibat yang buruk serta tidak akan selamat di dunia dan akhirat.

Dalam masa sama katanya, keluarga anggota pasukan keselamatan yang gugur dalam mempertahankan negara tersebut perlu bersabar kerana mereka adalah dianggap mati syahid.

"Ahli keluarga perlu sabar, sebab orang beriman yang sabar di dunia akan masuk ke syurga menggunakan pintu orang sabar. Ada sebuah pintu di syurga dinamakan sobirin, orang sabar akan masuk ke syurga melalui pintu itu," katanya yang merupakan imam dan guru al-Quran di Masjid Abbad, Mekah.

Mengenai penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu, Syeikh Mohammad Sharif berkata, orang Islam yang menerima atau bersetuju dengan perkara itu dianggap telah melakukan syirik kepada Allah.

"Kita tak boleh campur nama Allah dalam Bible, kerana injil adalah kitab orang syirik, kita tahu mereka tidak menerima Islam jadi bagaimana kita boleh banding dan menggunakan kalimah Allah dalam Bible?

"Kalau orang Islam terima kalimah Allah dalam Bible bermakna dia mengikut Bible... ini adalah syirik, Bible cakap Allah ada seorang anak," katanya.

Beliau berkata, dalam surah As-Syura, ayat 11, Allah berfirman yang bermaksud: Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (zat, sifat-sifat dan pentadbiran) Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Dalam Ali-Imran, ayat 85, pula katanya, Allah berfirman maksudnya: Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima agama itu daripadanya dan dia di akhirat termasuk orang yang rugi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment