My Add

Thursday 21 March 2013

GTP bukti kerajaan prihatin, cekap mentadbir

Oleh NUR HANANI AZMAN
KUALA LUMPUR, RABU, 20 Mac, 2013: Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang memberi manfaat secara menyeluruh kepada setiap lapisan masyarakat membuktikan kerajaan prihatin dengan nasib rakyat tanpa mengira ideologi politik.

Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, keprihatinan terhadap usaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat melalui dasar itu juga memperlihatkan kerajaan mempunyai hala tuju yang tinggi dalam mentadbir negara.

"Tumpuan terhadap kebajikan rakyat itu menunjukkan kerajaan hari ini benar-benar bertanggungjawab dan tidak sesekali menafikan hak rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang menyaksikan sebahagian besar janji kerajaan kepada rakyat berjaya dilaksanakan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman berkata, kejayaan GTP itu memberi manfaat besar kepada rakyat terutama dalam aspek mengurangkan beban kos kehidupan mereka.

Katanya, perkara itu terbukti menerusi kesediaan kerajaan berkongsi hasil kejayaan tersebut dengan rakyat sama ada dengan pemberian bantuan secara langsung atau menerusi dasar-dasar tertentu.

"Kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan diharapkan usaha ini akan diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Anuar Abd. Manap berkata, rakyat berpendapatan rendah paling mendapat manfaat daripada kejayaan GTP sekali gus menunjukkan objektif utama pelaksanaannya tercapai.

"Inisiatif kerajaan seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M) kepada penuntut institusi pengajian tinggi tempatan benar-benar meringankan beban kumpulan sasaran," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment