My Add

Saturday 23 March 2013

Halang bangun Kolej Mara perlihat kerajaan Selangor anti Mara - Noh

TANJUNG KARANG, JUMAAT, 22 Mac, 2013: Tindakan kerajaan negeri Selangor yang mewujudkan pelbagai halangan kepada pembinaan dan penyewaan pelbagai kolej pendidikan Majlis Amanah Rakyat di negeri itu memperlihatkan seolah-olah mereka antiMara, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, sikap antiMara kerajaan negeri Selangor ini jelas dapat dilihat dengan keengganan kerajaan negeri membenarkan pembinaan kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di tanah Yayasan Basmi Kemiskinan di Serendah, Selangor, dan kemudian merampas tanah itu.

UiTM telah terpaksa memindahkan pembinaan kampus cawangan itu ke Melaka, kata Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada majlis penutup program 'Kampungku Mahir' anjuran Giat Mara di Kampung Sungai Sireh di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah mengarahkan Pusat Giat Mara di Merbau Berdarah untuk membayar sewa di mana sebelum ini adalah percuma, semasa kerajaan negeri di bawah pemerintahan kerajaan BN.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah tidak menggotakan janji yang dibuatnya pada 25 Ogos 2008, bahawa kerajaan negeri PKR-DAP-PAS tidak akan mengenakan sewa terhadap bangunan milik kerajaan negeri yang menempatkan Pusat Giat Mara di Merbau Berdarah, katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Giat Mara, Meriyam Abdul Majid, mulai Oktober 2010 kerajaan negeri Selangor telah meminta Giat Mara membayar sewa termasuk tunggakan sejak 2008 yang menyebabkan pusat tersebut terpaksa berpindah pada penghujung tahun lepas dan membayar tunggakan sewa berjumlah hampir RM100,000 kepada pihak kerajaan negeri.

Meriyam berkata, mulai tahun ini, Pusat Giat Mara Sabak Bernam itu terpaksa beroperasi di Sungai Lias, Sungai Besar dan berikutan dengan itu tiga kursus melibatkan 60 pelajar tidak dapat ditawarkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment