My Add

Tuesday 12 March 2013

Hasrat OKU jumpa Dr. Mahathir tercapai

*DR. MAHATHIR Mohamad (kiri) bertanyakan khabar kepada Rosli Mohd. Tahir pada Majlis Bersama Negarawan di Dewan Bandaran Kulim, semalam.

KULIM, ISNIN, 11 Mac, 2013: Penantian berpuluh-puluh tahun Rosli Mohd. Tahir, 56, yang kudung kedua-dua belah kakinya, untuk bertemu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, berakhir hari ini.

Penduduk Taman Kenari itu berpeluang bersalaman dengan negarawan berkenaan pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Bandaran Kulim di sini.

Rosli kudung dari paras lutut ke bawah sejak setahun lebih dulu akibat penyakit diabetes kronik sehingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong di Hospital Kulim.

Sebelum ini, beliau menjadi kontraktor bangunan selama hampir 30 tahun, dan selepas diserang penyakit itu, Rosli yang tidak dapat meneruskan tugasnya, terpaksa menganggur.

"Tun mahu membantu saya bila saya pohon untuk mendapatkan sebuah kerusi roda elektrik untuk saya bergerak bersendirian bagi menyambung kehidupan saya bekerja di sebuah pasar mini dekat rumah saya untuk menambah pendapatan keluarga," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis itu.

Rosli berkata, beliau diminta menulis kepada bekas Perdana Menteri itu berhubung perkara yang dipohon.

Katanya, beliau sememangnya memerlukan bantuan itu kerana tidak mampu membelinya sendiri.

Beliau kini menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim manakala isterinya, Siti Roslina Abdul Rahman, 48, bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Kulim HiTech Park.

Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki, Mohamad Haris, 13, yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kenari.

Lebih 5,000 penduduk sekitar Parlimen Kulim/Bandar Baharu dan Padang Serai hadir pada majlis itu. Dr. Mahathir ditemani isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada majlis anjuran UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu dengan kerjasama UMNO Negeri Kedah itu.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Timbalannya Datuk Mukriz Tun Dr. Mahathir serta ketua bahagian di Kedah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment