My Add

Friday 15 March 2013

Hospital bergerak di Felda Sahabat

 *NAJIB Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bertanya khabar kepada
 Senan Sadi (dua dari kanan) yang mendapatkan rawatan dalam majlis Perasmian
 Kompleks Pakar dan Rawatan Harian Hospital Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Mac, 2013: Kementerian Kesihatan akan mewujudkan sebuah hospital bergerak kira-kira enam kilometer dari zon merah di Lahad Datu, Sabah bagi memberikan perkhidmatan kesihatan menyeluruh terhadap anggota keselamatan, penduduk setempat dan pengganas yang tercedera.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hospital bergerak dalam bentuk khemah besar yang akan didirikan di Klinik Kesihatan Felda Sahabat itu bakal dilengkapi sebanyak 40 buah katil untuk keselesaan pesakit.

Mengulas lanjut katanya, cadangan untuk mewujudkan hospital bergerak itu sudah dimaklumkan secara lisan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mendapat persetujuan beliau.

"Susulan daripada lawatan saya ke pusat pemindahan, klinik dan juga hospital di Lahad Datu semalam, saya mendapati keperluan untuk mewujudkan sebuah hospital bergerak terutama bagi membolehkan penduduk di kawasan pedalaman mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lengkap.

"Ini kerana jarak perjalanan yang melebihi 100 kilometer untuk mendapatkan rawatan di Hospital Lahad Datu menyukarkan penduduk dan dengan adanya hospital bergerak ini diharap akan memudahkan serta mempercepatkan urusan perkhidmatan kesihatan mereka sepanjang krisis," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Kompleks Pakar dan Pusat Rawatan Harian, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain.

Terdahulu, Perdana Menteri menyempurnakan majlis perasmian kompleks terbaharu itu bersempena lawatan kerja beliau ke HKL.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan perkhidmatan kesihatan di Lahad Datu sambil menyifatkan keadaan berjalan lancar dan baik.

Katanya, seramai enam pasukan perubatan yang terdiri daripada 44 kakitangan sudah ditempatkan di sekitar pusat penempatan, klinik dan hospital di Lahad Datu, malah langkah berhati-hati turut diambil untuk mengelakkan sebarang penyakit atau wabak.

"Keadaan pusat pemindahan memang padat, kementerian sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga terutama dari segi kebersihan dan sanitasi bagi mengelakkan penyakit-penyakit seperti denggi, keracunan makanan dan lain-lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tiong Lai berkata, usaha mentransformasi hospital berusia 143 tahun itu sekali gus mampu menjadikan HKL sebagai hospital ulung dan ikonik di dunia.

Bagi mencapai sasaran itu, katanya, kementerian dan HKL telah mencari alternatif terbaik terutama dalam menyelesaikan kesesakan trafik menerusi pembinaan tempat letak kereta bertingkat yang dijangka siap pada Januari 2015.

"Bagaimanapun, dengan kerjasama Kementerian Kerja Raja, saya menjangkakan bangunan yang mampu menempatkan sebanyak 3,000 kenderaan itu mampu disiapkan dalam tempoh sembilan bulan," katanya,

HKL kini merekodkan 10,000 kenderaan keluar masuk setiap hari manakala pada hari kelepasan am jumlahnya adalah antara 6,000 dan 8,000. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment