My Add

Monday 18 March 2013

HPSF dipilih sertai projek Hati Nurani

MUAR, AHAD, 17 Mac, 2013: Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, dipilih menyertai projek Hati Nurani membabitkan pembinaan Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang akan dibuka April ini.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, HPSF dipilih menyertai projek itu selain Hospital Umum Sarawak serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Sabah.

"Sebelum ini, SDH diwujudkan di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang, Hospital Ampang, Hospital Kuala Krai, Kelantan dan Hospital Temerloh di Pahang.

"Bagi SDH di HPSF, kerja-kerja pengubahsuaian bangunan sedang dijalankan dan dijangka memulakan kelas mulai akhir April ini," katanya ketika berucap merasmikan Rumah Kasih HPSF, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai.

Dalam majlis itu, Noorainee turut meluangkan masa meninjau kerja-kerja pengubahsuaian dua bilik darjah SDH di HPSF.

Menurut beliau, pembukaan SDH di HPSF dan dua lagi di Sabah dan Sarawak menjadikan sebanyak 10 buah hospital kerajaan ketika ini mempunyai kemudahan tersebut di seluruh negara.

Katanya, pembukaan SDH itu bertujuan membolehkan para pelajar yang sedang mendapat rawatan jangka panjang di hospital berkenaan dapat meneruskan pelajaran mereka.

Mengenai Rumah Kasih, beliau berkata, program anjuran Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia itu dapat membantu meringankan beban keluarga pesakit yang terpaksa bermalam di hospital berkenaan kerana jauh dari kediaman mereka.

Katanya, golongan itu hanya perlu membayar RM10 semalam untuk tinggal sementara di rumah berkenaan sehingga keluarga mereka yang dirawat dibenar keluar dari hospital.

Dalam masa sama, beliau menyeru syarikat korporat menyumbang kepada tabung tersebut untuk membolehkan lebih banyak rumah seumpama itu diwujudkan di hospital seluruh negara.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment