My Add

Thursday 7 March 2013

Ibu anggota tentera marah Tian Chua

BUKIT MERTAJAM, rabu, 06 Mac, 2013: Seorang ibu kepada salah seorang anggota tentera yang terlibat dalam Ops Daulat di Lahad Datu ketika ini, menyifatkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua sebagai seorang yang tidak berperikemanusiaan.

Norhashimah Abdul Rahman, 40, berkata, dia benar-benar marah dan terkilan dengan kenyataan Tian Chua dan menganggap pemimpin pembangkang itu tidak sensitif terhadap keselamatan dan nyawa anggota pasukan keselamatan.

"Tian Chua langsung tidak mempunyai sifat kemanusiaan kerana tergamak menghina anggota polis dan tentera yang maut serta menganggap kematian mereka sebagai satu sandiwara dan lakonan semata-mata.

"Tolong jangan politikkan kejadian pencerobohan ini, sepatutnya dia perlu berdoa agar anggota keselamatan kita yang sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan maruah negara dapat pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat," katanya yang tinggal di Kampung Tanah Liat di sini hari ini. - UTUSAN

Norhashimah merupakan salah seorang daripada 50 ahli beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pulau Pinang yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Tian Chua itu.

Sebagai ibu, Norhashimah berkata, dia sentiasa berdoa semoga anak lelakinya, Mohd. Haffiq Hayazi, 19, dan rakan sepasukan yang sedang bertugas di Sabah akan pulang dalam keadaan selamat.

"Saya berbangga dengan anak saya. Walaupun baharu sahaja menamatkan latihan di Kem Terendak, Melaka pada Disember tahun lalu, dia tetap mempunyai semangat juang yang tinggi demi mempertahankan negara daripada ancaman penceroboh.

"Saya hanya sempat berbual dengannya melalui panggilan telefon pada Isnin lalu sebelum dia bertolak ke Sabah. Dia sempat meminta saya mendoakan keselamatannya dan meminta saya menghalalkan makan minumnya," ujarnya.

Sehubungan itu dia berharap, Tian Chua sedar dan tidak menghina anggota polis dan tentera kerana tugas yang dipikul mereka sangat berat sehingga sanggup menggadaikan nyawa sendiri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment