My Add

Friday 15 March 2013

Imam berceramah politik di masjid akan dikenakan tindakan: MAIDAM

KUALA TERENGGANU, JUMAAT, 15 c, 3013: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan bertindak ke atas imam di negeri itu yang didapati mengadakan syarahan atau ceramah berunsur politik di dalam masjid.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama MAIDAM, Datuk Mohd Rozali Ishak, berkata perbuatan itu bercanggah dengan tugas hakiki mereka iaitu mengimamkan solat dan membacakan khutbah ketika solat Jumaat.

"Kita ada terima laporan dari beberapa daerah yang mengatakan imam-imam ini mengadakan ceramah politik dalam masjid. Ini satu kesalahan kerana tugas utama ialah mengimamkan solat dan membaca khutbah, bukan mengambil peluang berpolitik," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya, dalam tempoh dua tahun lalu, belum ada imam di negeri itu yang dikenakan tindakan dibuang kerja atau ditukarkan sekalipun didapati terbabit dalam politik secara terang-terangan.

"Namun bagi tahun ini, jika imam-imam didapati masih meneruskan kesalahan mereka, kita akan siasat dan membuat laporan kepada jawatankuasa tatatertib (MAIDAM).

"Jika kesalahan yang didapati agak serius, jawatankuasa tatatertib boleh mengambil tindakan yang lebih serius sehingga kita boleh memecat imam berkenaan," katanya.

Menurutnya tindakan tatatertib itu merangkumi imam penjawat awam yang dibayar gaji oleh kerajaan dan juga imam mukim yang hanya menerima elaun daripada kerajaan.
Katanya, selaku orang yang ditauliahkan untuk membimbing umat Islam, seseorang imam tidak harus menyalah guna kuasa dengan menjadikan masjid pentas politik sehingga memecahbelahkan perpaduan ummah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment