My Add

Tuesday 5 March 2013

Jenazah wira-wira negara selamat dikebumikan


 *NAJIB Tun Razak (empat dari kiri) dan Rosmah Mansor (lima dari kiri) bersama Muhyiddin Yassin (tiga dari kiri) dan Dr. Mahathir Mohamad (dua dari kiri) memberi penghormatan terakhir kepada Supritendan Ibrahim Lebar yang terkorban dalam serangan hendap di Semporna, Sabah apabila jenazah tiba di Subang, Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Mac, 2013: Jenazah enam pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam serangan hendap di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna, tiba dan dikebumikan di kawasan kediaman masing-masing hari ini.

Jenazah Supritendan Ibrahim Lebar, 52, dan jenazah Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 6.35 petang.

Suasana pilu menyelubungi pangkalan TUDM itu apabila anggota keluarga tidak dapat mengawal kesedihan melihat ketibaan jenazah yang dibawa dengan pesawat tentera C-130 itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir bersama-sama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta ratusan pegawai dan anggota polis bagi memberi penghormatan terakhir kepada dua wira negara itu.

Turut hadir isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ibrahim dari Cawangan Khas Bukit Aman dan Mohd Azrul dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau ialah antara enam pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam kejadian serang hendap oleh kumpulan bersenjata di perkampungan atas air itu kira-kira pukul 8 malam, Sabtu lepas.

Empat lagi yang terkorban ialah Asisten Supritendan (ASP) Michael Padel dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Sarjan Detektif Baharin Hamid dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Sarjan Abd. Azis Sarikun dari PGA Tawau dan Koperal Salam Tongiran (IPD Tawau).

Jenazah Ibrahim dibawa ke kediamannya di No. 45 Jalan USJ 9/5F, Subang Jaya dan dikebumikan di tanah perkuburan USJ 22, Subang Jaya malam ini manakala jenazah Mohd. Azrul dibawa ke kediaman keluarganya di Lot 6278/2461 Jalan Telok Kapas, Kampung Rantau Panjang, Klang untuk dikebumikan malam ini.

Perkarangan pangkalan TUDM dibanjiri anggota keluarga pegawai dan anggota polis itu sejak jam 4.30 petang.

Di KUCHING, mayat mendiang ASP Michael Padel Sano tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Kuching pada pukul 5.30 petang.

Turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada wira negara itu ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Mayat mendiang dibawa pulang ke Kampung Bidayuh, Tembakang di Serian dan akan dikebumikan di Makam Pahlawan Sarawak di Kuching pada Rabu.

Di KOTA KINABALU
, jenazah Baharin tiba di Lapangan Terbang Terminal 2, Kota Kinabalu, Sabah pada pukul 2 petang.

Di SEMPORNA, jenazah Abd Azis yang tiba dengan van jenazah di Surau IPD Semporna pada pukul 9.30 pagi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 2, Jalan Bunga Raya di sini selepas solat Zohor.

Jenazah Salam pula disembahyangkan di Surau IPD Tawau dan dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Batu 15, Jalan Apas Tawau, Sabah pada pukul 10.15 pagi ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment