My Add

Wednesday 6 March 2013

JLKN jamin keselamatan pelatih PLKN di Tawau dan Sandakan

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Mac, 2013: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) hari ini memberi jaminan 790 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Shan Shui, Tawau dan Kem Bagai Budi Resort, Sandakan adalah selamat dan keadaan terkawal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata pihaknya kini meningkatkan pemantauan di kedua-dua kem itu dengan kesemua program dan aktiviti luar dibatalkan.

"Ekoran pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna, JLKN menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa dan keluarga peserta yang risaukan keselamatan anak-anak mereka di kem berkenaan, justeru pihak JLKN ingin memaklumkan kesemua peserta berada dalam keadaan selamat.

"Seramai 12 komandan anggota tentera dan seorang anggota polis bertugas di setiap kem untuk memantau keadaan peserta," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Kem Shan Shui dan Kem Bagan Budi Resort, masing-masing terletak kira-kira 150 dan 120 kilometer dari Lahad Datu.

Abdul Hadi berkata, ibu bapa dan keluarga pelatih tidak perlu bimbang kerana pihak kem sentiasa berhubung dengan polis Tawau dan Sandakan bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden pencerobohan di Lahad Datu itu.

Katanya, ibu bapa juga dibenarkan melawat anak masing-masing setiap hujung minggu seperti biasa dari 8 pagi hingga 5 petang.

Abdul Hadi berkata, tempoh latihan pelatih Kumpulan Satu Siri 10 2013 di kedua-dua kem itu diteruskan seperti biasa dan tidak akan ditamatkan lebih awal.

"Pelatih akan menamatkan latihan sama seperti pelatih di kem-kem PLKN lain di seluruh negara iaitu pada tarikh 16 Mac ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment