My Add

Friday 15 March 2013

JPN perlu pastikan dokumen pengenalan diri berkualiti, tidak boleh dipalsu

PUTRAJAYA, JUMAAT, 15 Mac, 2013: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu memastikan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan adalah berkualiti, mempunyai tahap keselamatan tinggi dan tidak boleh dipalsu.

"Kita perlu berwaspada supaya tiada pemalsuan dokumen pengenalan diri kerana ia akan menjejas keselamatan negara dan menyulitkan usaha mengenal pasti musuh dan warganegara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPN 2012 di sini, hari ini. Hadir sama Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said.

Seramai 337 pegawai dan petugas pelbagai gred JPN menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Abu Seman turut menyeru warga JPN menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan jabatan melalui pelaksanaan percetakan teragih Mykad, iaitu percetakan MyKad dalam tempoh sehari di pejabat JPN seluruh negara.

Beliau berkata, inisiatif itu termasuk 100 peratus pengeluaran MyKad di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC), 80 peratus pengeluaran MyKad di ibu pejabat dan JPN Negeri serta pelaksanaan tambahan pusat percetakan teragih di 15 buah pejabat cawangan yang terpilih.

"Saya yakin warga JPN dapat terus mengekalkan komitmen dan momentum dalam memastikan KPI menteri yang baharu ini dapat dicapai sepenuhnya pada tahun ini," katanya.
Pada majlis itu, Abu Seman turut melancarkan Tabung Wira Negara bagi menghargai jasa anggota keselamatan yang terkorban dan cedera ketika mempertahan kedaultan negara di Lahad Datu dan Semporna di Sabah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment