My Add

Monday 11 March 2013

Kaji aspek keselamatan - Dr. Mahathir

Oleh HAKIMI ISMAIL
 KLANG, AHAD, 10 Mac, 2013: Kerajaan perlu menjalankan satu kajian menyeluruh termasuk aspek keselamatan yang menyebabkan berlakunya pencerobohan kumpulan pengganas bersenjata di Sabah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tindakan tersebut adalah penting bagi mengelakkan kawasan sempadan dan perairan negara daripada terus dicerobohi pihak luar terutama yang datang dari Filipina.

"Kita mendapati Sabah mempunyai pantai yang cukup panjang, berliku-liku dan susah untuk dijaga. Kadangkala bot laju dari Filipina boleh sampai dalam tempoh 15 minit sahaja dan mereka boleh lari bersembunyi dalam hutan bakau sehingga sukar untuk dikejar.

"Satu kajian perlu dibuat bagaimana menangani serangan seperti ini yang datang dari pulau-pulau Filipina. Kita kena ada peruntukan (termasuk penambahan anggota pasukan keselamatan) untuk mengawasi kawasan perairan di Sabah," katanya dalam sidang akhbar selepas menjadi tetamu jemputan Forum Strategik Masa Depan Bangsa Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor, Mahmud Karim.

Forum anjuran Jabatan Pelajaran Selangor itu dihadiri kira-kira 3,000 peserta yang kebanyakannya guru dan wakil penduduk.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berpendapat, kerajaan masih berupaya menambah perbelanjaan dalam aspek pertahanan berikutan hasil yang diperoleh daripada keuntungan syarikat-syarikat milik negara seperti Maybank, Sime Darby dan Petronas.

"Saya yakin kerajaan akan memiliki cukup wang untuk menambah keperluan yang akan ditentukan setelah dikaji apa kelemahan menyebabkan serangan Sulu dan jika perlu, saya yakin kerajaan akan tambah peruntukan pertahanan," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan peserta dalam forum itu, Dr. Mahathir berkata, Barisan Nasional (BN) tidak perlu melakukan gimik seperti pencerobohan di Lahad Datu kerana rakyat Sabah sentiasa menyokong kerajaan BN.

Menurut beliau, BN telah melalui pilihan raya umum sebanyak 12 kali dan tidak pernah menggunakan cara kotor untuk menang.

"Kita dipilih oleh rakyat dan BN tidak mendapat sebarang keuntungan atau kerugian daripada serangan di Sabah. Dakwaan pencerobohan itu gimik politik BN hanya dibuat oleh orang yang tiada modal untuk berkempen," katanya. - UTSAN

No comments:

Post a Comment