My Add

Saturday 9 March 2013

Kajian terperinci kenal pasti guru agama ajar Syiah - TPM

GEORGE TOWN, SABTU, 09 Mac, 2013: Kerajaan akan menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti guru Agama Islam yang terlibat dengan ajaran Syiah agar ia dapat dibendung dan umat Islam di negara ini tidak tersesat dengan ajaran berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kajian itu perlu dibuat dengan menjalankan tinjauan di beberapa peringkat dan bukan hanya membuat andaian sahaja.

"Ini termasuk melihat perwatakan guru (yang terlibat ajaran Syiah), cara dia mengajar, pergaulan dan penglibatannya dengan ajaran itu. Jika betul terlibat nasihatkannya dan tengok bagaimana dia terpesong dan dipesong," katanya.

Beliau berkata demikian pada Multaqa Guru Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Zon utara di Universiti Sains Malaysia di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 2,300 guru agama.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian bagi menjawab soalan seorang guru agama dari Kedah yang mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap penularan guru agama yang terlibat dengan ajaran Syiah.

Beliau berkata, tindakan segera juga perlu diambil kerana ajaran Syiah bertentangan dengan ajaran Agama Islam di negara ini dan ia tidak boleh diterima lebih-lebih lagi melibatkan guru-guru agama.

"Dari segi peraturan pendidikan juga telah menyalahi kerana mereka (guru terbabit) mengajar tidak mengikut sukatan yang sepatutnya dan kementerian juga telah mengeluarkan pekeliling berhubung perkara itu (mengajar mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan)," katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya ajaran Syiah itu merebak kepada pelajar menerusi pembelajaran di sekolah dan masyarakat kerana pengaruh seorang guru agama begitu besar di kalangan masyarakat.

"Pengaruh Syiah dari negara Iran ada di sini dan cuba disebarkan di kalangan masyarakat. Ini satu masalah besar bukan sahaja sistem pendidikan tetapi masyarakat Islam, jadi saya mahu tindakan segera diambil bagi mengelak perkara ini terus merebak," katanya.

Sementara itu ketika berucap, Muhyiddin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan banyak perkara dalam memartabatkan Islam antaranya sistem pendidikan Islam di sekolah, pewujudan universiti Islam antarabangsa dan melaksanakan sistem perbankan dan kewangan Islam yang diakui sebagai model terbaik di seluruh dunia.

"Segala bentuk pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan BN adalah selaras dengan tuntutan Islam sepertimana yang selalu disebutkan "Keseimbangan Hidup Duniawi dan Ukhrawi"," katanya.

Beliau berkata dasar yang berkaitan Islam tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya Malaysia tidak mempunyai sebuah kerajaan atau pentadbiran yang komited untuk memartabatkan dan mempertahankan kesucian agama Islam.

"Pendidikan Islam sebagai agama persekutuan tidak semestinya menjamin pelaksanaan dasar-dasar Islam sekiranya tiada komitmen ataupun tidak ada iltizam di pihak kerajaan yang tidak melihat kesucian agama Islam terus dipelihara dan syiar Islam berkembang," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan pusat telah memberi tumpuan dan usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan Islam kerana ia adalah sesuatu yang penting untuk umat Islam di Malaysia.

Katanya, antara usaha kerajaan pusat adalah pemberian dan peruntukan yang berterusan membantu melaksanakan program dalam pendidikan Islam serta pemberian dana khas berjumlah RM100 juta untuk pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan sekolah agama di bawah Belanjawan 2013. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment