My Add

Tuesday 12 March 2013

Kakitangan KUIN minta MB Kedah berlaku adil dan saksama

ALOR SETAR, SELASA, 12 Mac, 2013: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak diminta berlaku adil dan saksama dalam menilai kemelut di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang berlarutan sejak empat tahun lalu.

Pensyarah Kulliyyah Perhotelan dan Perkhidmatan Halal KUIN, Mohd Farid Alias, berkata Azizan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN perlu mengambil tindakan disiplin terhadap Rektor KUIN, Prof Datuk Dr Jamil Osman kerana memalukan dan menjatuhkan imej KUIN di peringkat nasional serta melakukan pembaziran kewangan KUIN.

"Jangan hanya kerana Jamil kawan rapatnya, Azizan buat-buat terlepas pandang pulak dengan kesalahan besar yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Farid berkata, kenyataan Jamil yang mengakui terlepas pandang terhadap pengambilan 34 pelajar di bawah kelayakan masuk adalah kesalahan yang serius dan kerajaan negeri perlu mengambil tindakan tegas terhadap Jamil yang diamanahkan untuk menguruskan KUIN.

"Akibat kesalahan besar yang dilakukan itu, duit KUIN yang juga wang rakyat Kedah melayang sebanyak RM272,000. Jumlah ini adalah satu jumlah yang sangat banyak dan boleh digunakan untuk membantu rakyat yang susah dan memberi kebajikan kepada kakitangan KUIN," katanya.

Mohd Farid berkata, Jamil sebenarnya bukanlah terlepas pandang dalam kes itu kerana sebelum ini sudah ada beberapa pegawai KUIN yang menegur dan memaklumkan kepada beliau mengenai perkara berkenaan kerana ia bercanggah dengan peraturan dan syarat yang ditentukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Kesalahan ini boleh dikategorikan sebagai kecuaian berat yang disengajakan dan boleh dikenakan tindakan surcaj oleh pihak KUIN terhadap Jamil. Jika kakitangan KUIN yang membangkitkan isu hak mereka yang diabaikan dalam media boleh dikenakan tindakan tatatertib, kenapa Jamil yang mengaku melakukan kesalahan secara terangan-terangan di dalam media umum tidak dikenakan tindakan surcaj atau sebarang tindakan disiplin?," katanya. 

Ahad lalu, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa membuat lawatan mengejut ke kampus KUIN di Mergong di sini menyelidik aduan warga kerja serta pelajar KUIN.

Ketika lawatan itu, Rujhan memberitahu pemberita KUIN dikompaun RM272,000 kerana mengambil 34 pelajar di bawah syarat kelayakan. Selain itu aliran tunai KUIN bagi tempoh 2007 hingga 2010 juga didapati negatif.

Sementara itu, Mohd Farid berkata, semasa lawatan Rujhan itu, Jamil memberi maklumat yang salah dengan menyatakan asrama pasang siap di kampus induk KUIN di Kuala Ketil boleh disediakan selewat-lewatnya pada 17 Mac ini sedangkan ia mustahil untuk disiapkan dalam tempoh itu kerana sekarang ini ia adalah di peringkat pembinaan konkrit.

Katanya, selain itu, kenyataan Jamil terhadap wakil KPT itu berhubung aliran tunai kewangan KUIN 2011 adalah positif juga tidak benar kerana aliran tunai kewangan KUIN untuk tahun itu sangat negatif.

Mohd Jamil turut mendakwa Jamil terus menipu masyarakat dengan mengatakan bahawa KUIN menjelaskan semua tunggakan dan pemotongan kepada pihak ketiga sehingga bulan Februari tahun ini.

"Saya ada bukti bahawa setakat 10 Mac 2013, pemotongan caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) saya hanya dibayar bagi bulan Ogos 2012 saja. Bagi gaji bulan September 2012 sehingga bulan Februari 2013 caruman belum dibuat sehingga sekarang.

"Hasilnya dividen KWSP bagi tahun 2012 hanya dikira bermula dari caruman bulan Januari hingga bulan Julai 2012 saja," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment