My Add

Tuesday 5 March 2013

Kawalan diperketat di zon merah, bandar Lahad Datu masih tenang

LAHAD DATU, SELASA, 05 Mac, 2-13: Pihak keselamatan memperketatkan kawalan keselamatan di zon merah susulan serangan ofensif yang dilancar ke atas penceroboh bersenjata di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo di sini hari ini.

Tinjauan mendapati pasukan keselamatan meletakkan zon penampan bagi membezakan kawasan perang dan ruangan untuk orang awam di laluan masuk ke Kampung Tanduo, Labian dan Tanjung Batu yang dikawal ketat oleh anggota keselamatan terdiri daripada tentera dan polis.

Kawasan itu menjadi zon larangan masuk bagi orang awam dan pihak tidak berkaitan.

Sementara itu, masyarakat setempat termasuk di kawasan berjiran seperti Felda Sahabat 16 pula mengambil langkah keselamatan dengan berkurung di dalam rumah.

Tinjauan di bandar Lahad Datu, kira-kira 130 kilometer dari kawasan pencerobohan kumpulan bersenjata terbabit, mendapati keadaan seperti biasa dan orang ramai masih keluar dengan urusan masing-masing.

Walaupun masih banyak premis perniagaan ditutup, operasi beberapa kedai runcit, kedai kasut dan kedai telekomunikasi di Bandar Sri Perdana berjalan seperti biasa.

Awal pagi ini pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif dari udara dan darat ke atas penceroboh yang menjadikan Kampung Tanduo sebagai kubu mereka sejak 9 Feb lepas.

Serangan itu dilancar selepas kumpulan terbabit tetap enggan menyerah diri sekalipun telah diminta berbuat demikian oleh pasukan keselamatan.

Sehingga kini, lapan anggota pasukan Polis Diraja Malaysia terkorban ketika mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman kumpulan penceroboh terbabit yang mendakwa mereka "Tentera Sulu". - BERNAMA

Penceroboh ditahan boleh didakwa membunuh - Nazri Aziz

KUALA LUMPUR: Penceroboh yang dipercayai anggota tentera Diraja Kesultanan Sulu yang ditahan di Sabah boleh didakwa atas kesalahan menceroboh dan membunuh di bawah undang-undang negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment