My Add

Tuesday 19 March 2013

Kawalan sempadan Sarawak, Sabah diperketat elak pengganas menyusup

MIRI, ISNIN,18 Mac, 2013: Polis Sarawak meningkatkan aspek keselamatan di sempadan berhampiran Sabah di Lawas, Limbang bagi mengelak ancaman serta memastikan pengganas Sulu yang menceroboh Sabah tidak menyusup masuk ke negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, antara kawasan yang diperketat kawalan keselamatan ialah di Pusat Kastam dan Kuarantin (CIQ) Merapok di daerah Lawas, Limbang serta di Sindumin Sabah yang terletak berhampiran sempadan Merapok.

"Setakat ini, tiada tanda ancaman akan berlaku di Sarawak namun kita sedang mengawal dengan ketat keselamatan," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Miri hari ini.

Acryl berada di sini bagi menyambut kepulangan, Lans Koperal Effendey Rosli daripada pasukan Platun Tiger Kompeni, Batalion 12, Pasukan Gerak Am (PGA), Miri yang tercedera di betis kiri semasa pertempuran dengan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada 9 Mac lalu.

Mengenai kecederaan dialami Effendey, beliau berkata, ini merupakan antara cabaran terpaksa dihadapi anggota keselamatan yang mempertaruhkan nyawa demi negara dan mahu masyarakat sentiasa memberi sokongan kepada mereka.

Sementara itu Effendey, 25, ketika ditemui media berkata, kecederaan dialaminya tidak sesekali melunturkan semangat untuk bertugas demi keselamatan negara.

"Saya tidak sabar kembali bertugas selepas kecederaan sembuh sepenuhnya," katanya sejurus selepas tiba di sini.

Beliau berkata, sewaktu kejadian pada 8 malam berlarutan sehingga subuh, pengganas berbalas tembakan dengan anggota keselamatan yang bertugas dalam keadaan gelap dan ini menyebabkan lokasi musuh sukar dikesan.

"Apabila tertembak walaupun amat sakit, saya masih bersemangat untuk berjuang dan masih memegang senjata," katanya.

Selain Effendey, 25, seorang rakannya, Mohd. Zairiman Ibrahim, 25, turut tercedera di paha dan betis kanan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sandakan Sabah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment