My Add

Tuesday 12 March 2013

Kawasan Keselamatan Khas Sabah dikenali ESSCOM

KOTA KINABALU, ISNIN, 11 Mac, 2013: Kawasan Keselamatan Khas sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah akan dinamakan sebagai Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, nama ESSCOM itu dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah (JKKN) pada mesyuaratnya di sini hari ini.

''Penggunaan nama ESSCOM dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan perincian butiran lanjut mengenai hal ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri nanti,'' " katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu.

Khamis lalu, Najib mengumumkan kerajaan akan mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras pengganas di Felda Sahabat 16, berdekatan dengan Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Kumpulan pengganas dari selatan Filipina itu memasuki Kampung Tanduo pada 12 Feb lalu dan sejak itu menjadikan kampung itu sebagai kubu mereka serta enggan menyerah diri atau meletak senjata.

Pada 1 dan 2 Mac lalu, kumpulan pengganas itu melakukan serangan hendap terhadap pasukan keselamatan negara, mengakibatkan lapan anggota polis terkorban di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Kampung Simunul, Semporna.

Musa, semasa mengadakan persidangan video dengan Najib di Putrajaya hari ini, berkata, rakyat menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai Kawasan Keselamatan Khas dari Kudat ke Tawau.

Selain itu, lima batalion tambahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di lokasi strategik sepanjang kawasan itu dengan pusat kawalannya di Lahad Datu.

"Saya yakin, langkah ini akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat, pelabur dan pelancong terhadap tahap keselamatan khususnya di kawasan pantai timur Sabah," katanya.

Pada persidangan video itu, Musa turut menghargai pengorbanan anggota keselamatan yang sedang bertugas menjaga keselamatan rakyat di Sabah khususnya di Lahad Datu.

''Pengorbanan anggota keselamatan tidak sekali-kali dilupakan sebaliknya rakyat Sabah akan terus mengingati dan menyanjung tinggi segala bakti dan pengorbanan mereka,'' katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment