My Add

Monday 11 March 2013

KDN gariskan bentuk KKK Sabah

KUALA LUMPUR, AHAD, 10 Mac, 2013: Kementerian Dalam Negeri akan meneliti keperluan penambahan bilangan balai polis dan anggota polis di Sabah selain meningkatkan tahap kawalan keselamatan di sempadan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, perkara itu merupakan antara keperluan yang digariskan oleh kementerian sebagai persediaan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas (KKK) Zon Timur Sabah, berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenainya pada 7 Mac lalu.

Menurut beliau, selain itu, kementerian akan memantapkan kerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh Sabah.

"Kementerian juga akan memperkasakan peranan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) sebagai pertahanan barisan ketiga serta mengatur gerak anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA) sebagai sebahagian daripada Unit Maklum Balas Krisis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahim semalam mempengerusikan mesyuarat persediaan peringkat kementerian mengenai penubuhan KKK di Sabah yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Hasanah Abdul Hamid, Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Wahab Mohd. Yasin dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Yang turut terlibat, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad, Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Jariah Mohd. Said.

Pembentukan KKK di Sabah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lalu meliputi kawasan dari Kudat ke Tawau, merangkumi Sandakan, Semporna, Lahad Datu dan Kunak dengan pusat operasinya di Lahad Datu.

Menurut Abdul Rahim, mesyuarat itu juga sebagai persediaan bagi Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sabah yang akan dipengerusikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman esok.

Katanya, usaha itu membuktikan komitmen kementerian dalam memastikan KKK di Sabah dapat dilaksanakan secepat mungkin demi memelihara dan menjamin keselamatan dan ketenteraman rakyat Sabah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment