My Add

Tuesday 26 March 2013

KDN sah Anwar jumpa Nur Misuari

 *HISHAMUDDIN Tun Hussein bersalaman dengan ahli-ahli Pemuda pada
 Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Barisan Nasional Gombak di Kuala
 Lumpur, semalam. - BERNAMA

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, AHAD, 24 Mac, 2013: Kementerian Dalam Negeri mengesahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali bertemu bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari sebelum berlakunya insiden pencerobohan berdarah di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagaimanapun berkata, jumlah sebenar pertemuan antara Anwar dan Nur Misuari belum boleh didedahkan kerana pihak berkuasa masih lagi meneliti dengan terperinci setiap maklumat sebelum mendedahkannya kepada rakyat.

Sehubungan itu beliau yakin, kerajaan akan mewujudkan Suruhanjaya Diraja atau Kertas Putih bagi membolehkan siasatan menyeluruh dibuat termasuk mengenal pasti pihak ketiga yang menjadi dalang kepada pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna sejak 12 Februari lalu.

"Saya difahamkan ada beberapa kali (Anwar) jumpa tetapi jumlah sebenar belum kita boleh sahkan," katanya ketika diminta mengulas laporan sebuah blog, mymassa.blogspot.com berhubung perkara tersebut.

Terdahulu, beliau melancarkan Jentera Pilihan Raya Pemuda Barisan Nasional (BN) Gombak di Taman Sri Gombak di sini yang turut dihadiri Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Tan Sri Omardin Mauju serta Penyelaras Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Mengenai penubuhan suruhanjaya diraja atau Kertas Putih, Hishammuddin berkata, kerajaan memerlukan sedikit masa sebelum perkara itu diputuskan oleh Kabinet kerana ketika ini tumpuan diberi bagi menghapus saki-baki pengganas Kiram.

"Saya nak ingatkan kepada dalang insiden atau pihak ketiga yang ingin menangguk di air keruh, selain suruhanjaya diraja atau Kertas Putih, pihak perisikan negara juga akan bekerjasama dengan agensi perisikan serantau dalam usaha kita untuk melihat kebenaran," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr. Badrulamin Bahron menggelar pasukan keselamatan sebagai anjing menerusi laman Twitternya semalam, Hishammuddin berkata, penghinaan sebegitu tidak pelik di kalangan pembangkang.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini pihak berkuasa belum dapat memutuskan bentuk tindakan ke atas Badrulamin kerana ia hanya diputuskan selepas pihak polis menjalankan siasatan tetapi menjelaskan pendakwaan ke atas Tian Chua adalah bukti ketegasan kerajaan.

"Kalau kematian anggota keselamatan yang berkorban nyawa demi mempertahan kedaulatan serta keamanan negara di Lahad Datu dan Semporna pun Tian Chua sanggup kata itu sandiwara, saya tidak pelik dengan politik cetek para pemimpin pembangkang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment