My Add

Friday 8 March 2013

Kementerian rancang perluaskan GDEP

Oleh NURUL HUDA HASSAN
JOHOR BAHRU, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Kementerian Pengajian Tinggi merancang untuk memperluaskan Program Pembangunan dan Kebolehpasaran Graduan (GDEP) kepada pihak industri dengan menumpukan bidang seperti pembinaan dan bioteknologi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada masa ini, GDEP yang dimulakan pada awal tahun ini membabitkan 150 penuntut lebih menumpukan dalam bidang teknologi pemacu cakera keras (HDD) dan media.

Menurutnya, GDEP yang dijalankan menerusi dua program iaitu Program Induksi Graduan (Grip) bagi penuntut tahun tiga peringkat ijazah sarjana muda dan Program Pembangunan Industri (Indep) bagi penuntut diploma tahun dua.

"Untuk projek pertama, pihak kementerian telah bekerjasama dengan Western Digital (WD) bagi menjalankan program Grip dan Indep dalam usaha memberikan latihan berkaitan teknologi HDD dan media dengan peruntukan sebanyak RM2.04 juta.

"Dalam melancar dan memastikan usaha itu berjaya, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dilantik sebagai sekretariat program," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program GDEP di WD Pasir Gudang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan dan Naib Presiden Kanan WD Asia, Michael Meston.

Mohamed Khaled berkata, dengan menggunakan konsep seperti dilaksanakan WD, pihak kementerian bercadang memperluaskan program tersebut dalam usaha memastikan para penuntut bukan sahaja meningkatkan kemahiran mereka tetapi mudah mendapatkan pekerjaan.

"Mereka yang terpilih akan mengikuti kursus selama setahun iaitu enam bulan semasa dalam pengajian dan enam bulan lagi selepas tamat pengajian di kilang WD yang terletak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

"Menerusi program itu, penuntut yang terpilih akan diberikan latihan berkaitan pembangunan dan teknologi HDD dan media seperti pengetahuan teori asas dan latihan dalam topik berkaitan," katanya.

Selepas tamat program, pihak WD bersetuju mengambil 25 peratus daripada jumlah penuntut itu untuk bekerja dengan syarikat berkenaan di negara ini dan pada masa sama, diberi peluang menjalani latihan di Silicon Valley, Amerika Syarikat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment