My Add

Friday 8 March 2013

Keputusan dedah sumber berita 26 April

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Mac, 2013: Percubaan untuk 'memecah benteng' berhubung prinsip menghormati kerahsiaan sumber berita dalam Etika Kewartawanan Malaysia akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 26 April ini.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menetapkan tarikh itu bagi penjelasan dan memutuskan isu tersebut yang dibangkitkan dalam kes saman fitnah oleh Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

King Sing merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) iaitu kontraktor penyiapan (turnkey) bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Beliau pada 12 Oktober 2009, memfailkan saman terhadap The New Straits Times Press Bhd. (NSTP), Pengarang Kumpulan, Datuk Syed Nadzri Syed Harun dan bekas wartawannya, Joseph Sipalan serta Tee Keat.

King Sing yang juga bekas Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) bagaimanapun menarik balik tuntutan terhadap NSTP, Syed Nadzri dan Sipalan.

Pada 30 Januari lalu, King Sing selaku pihak plaintif memberi keterangan bahawa dalam satu artikel yang diterbitkan oleh akhbar tersebut, Tee Keat telah menuduh beliau bersubahat dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek untuk menjatuhkannya.

Sipalan, 32, yang kini wartawan akhbar The Star telah menulis artikel bertajuk Chua and Tiong in cahoots? (Chua dan Tiong bersekongkol) ketika beliau bertugas dengan akhbar New Straits Times.

Artikel itu disiarkan pada 6 September 2009, selepas Sipalan menemu bual tujuh hingga lapan anggota jawatankuasa pusat MCA dan ahli jawatankuasa negeri yang tidak mahu nama mereka disebut.

Peguam Prem Ramachandran yang mewakili King Sing pada 15 Februari lalu telah mengemukakan permohonan bagi memaksa Sipalan mendedahkan sumber yang ditemu bual olehnya bagi artikel itu.

Selepas prosiding yang berlangsung di kamar Hakim Bee Lan hari ini, Prem yang ditemui pemberita memberitahu, Sipalan perlu mendedahkan sumber bagi artikel yang ditulisnya kerana fakta itu relevan dengan kes. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment